Pelakon dan usahawan, Syatilla Melvin berkongsi kisah menyentuh hati mengenai pengalaman mimpi yang dilalui ibunya sekali gus disifatkan sebagai antara kenangan paling indah pernah diceritakan susuk itu dalam keluarga mereka.
Menurut Syatilla menerusi perkongsian di Threads, sepanjang hidupnya dia pernah mendengar pelbagai cerita mimpi daripada orang sekeliling, namun pengalaman yang dialami sendiri ibunya dianggap sangat luar biasa.
“Antara pengalamn mimpi-mimpi orang keliling yang pernah aku dengar, pengalaman mimpi ibu saya paling another level,” katanya.
Katanya, mimpi tersebut berlaku ketika dia dan adik-beradiknya yang lain masih kecil, namun sehingga kini ibunya masih tidak dapat melupakan pengalaman indah tersebut.
“Masa ibu dapat mimpi tu kami semua kecil lagi.. tapi mimpi ni lah yang ibu tsaya tak boleh lupa dan selalu share dengan orang bila dia berborak. 1000 kali ulang pun, 1000 kali dia sebak. Nak tahu mimpi apa?,” kongsinya.

Menyifatkan ia mimpi yang sangat indah, isteri kepada aktor Shaheizy Sam ini berkongsi bagaimana ibunya menggambarkan suasana dalam mimpi tersebut yang disifatkan sangat indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Dia mimpi ada dalam 1 malam yang sangat-sangat indah, terlalu lalu lalu indah, bintang bersinar luar biasa.. ibu ada dalam kawasan lapang dan tiba-tiba semua pokok-pokok dekat situ seolah-olah bersujud, merendah dekat ibu. Punyalah cantik malam tu tak terungkap dia nak cerita,” ujarnya.




