Jenazah Mislan dan isteri selamat dikebumikan

Jenazah Mislan dan isteri selamat dikebumikan

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Suami isteri yang maut dalam nahas di Kilometer 72.5 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Felcra Sungai Kahang, Kluang, semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, hari ini.

Dua van membawa jenazah Mislan Osmin, 54, dan isterinya, Nor Azilah A Rahman, 49, tiba di Tanah Perkuburan Islam Parit Pulai, Parit Sulong pada 6 petang.

Terdahulu, jenazah dibawa ke rumah arwah dari Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk membolehkan ahli keluarga menatap buat kali terakhir.

Suasana bertukar pilu apabila anak-anak arwah dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik jenazah dibawa masuk ke dalam rumah.

Sementara itu, anak pasangan itu, Ain Zanariah, 33, berterima kasih kepada semua pihak termasuk pengurusan van jenazah yang banyak membantu keluarganya sehingga jenazah selamat dikebumikan.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua, malah ada memberi kata-kata semangat untuk kami terus kuat menghadapi ujian ini,” katanya.

Dalam kejadian 5 petang semalam, kereta jenis Hyundai Matrik yang dipandu Mislan dipercayai terbabas akibat jalan licin susulan hujan lebat.

Kereta terbabit kemudiannya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori. Kemalangan turut menyebabkan dua anak mereka iaitu Syahida, 24, kritikal dan terpaksa ditidurkan, manakala Fatimah, 21, sudah dipindahkan ke wad biasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top