Juruterbang Malaysia ditahan 30 hari lagi di Jakarta

Juruterbang Malaysia ditahan 30 hari lagi di Jakarta

Kuala Lumpur: Juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah, kini ditahan di bawah perintah mahkamah untuk tempoh 30 hari lagi, selepas tamat tempoh tahanan awal selama 60 hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima perkembangan terkini berhubung kes itu daripada Direktorat Tindak Pidana Narkoba, Polis Republik Indonesia (Narkoba Polri).

Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan penilaian pihak berkuasa Indonesia, dengan tempoh maksimum tahanan sebelum pertuduhan boleh dikenakan adalah sehingga 120 hari.

“Pihak PDRM telah menerima makluman terkini daripada Narkoba Polri. Mereka telah melanjutkan tempoh tahanannya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi juruterbang serta enam individu lain yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket dadah berkenaan, dikenakan perintah tahanan selama 60 hari mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Kes berkenaan melibatkan siasatan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia berhubung dakwaan penglibatan anggota penerbangan Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai.

Suspek ditahan selepas dipercayai membawa 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul disyaki ekstasi dan methamphetamine, dengan berat keseluruhan kira-kira 25 kilogram dan nilai dianggarkan RM45 juta.

Susulan penahanan itu, sepasukan pegawai JSJN berkunjung ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos, bagi menjalankan soal siasat terhadap suspek selain bertukar maklumat dengan pihak berkuasa Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top