London: Pengurus Tottenham Hotspur, Igor Tudor memberi amaran kepada pemainnya supaya bangkit berjuang ketika kelab itu berdepan kemungkinan sukar dibayangkan tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL).
Spurs baru sahaja dibelasah 2-5 oleh Atletico Madrid dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, selain sudah tersingkir daripada Piala FA dan Piala Liga.
Kelab London utara itu kali terakhir tersingkir dari liga utama pada 1977, namun kini berada dalam bahaya apabila menghuni tangga ke-16 liga, hanya satu mata di depan Nottingham Forest dan West Ham United.
“Memang sukar. Bukan hanya kerana perlawanan terakhir, tetapi juga tempoh yang kami lalui. Ia bukan situasi mudah dan cabarannya besar untuk mengubah keadaan,” kata Tudor menjelang pertemuan menentang Liverpool di Anfield, Isnin ini.
“Dalam hidup, anda boleh memilih bagaimana melihat situasi. Anda boleh menangis atau anda boleh berjuang. Anda boleh menjadi mangsa atau cuba mengubah sesuatu. Itu mesej saya kepada pemain.
“Botol boleh dilihat separuh penuh atau separuh kosong. Sekarang tidak banyak yang penuh. Banyak yang kosong, tetapi saat sukar tidak akan kekal lama. Ia akan berlalu dan saya percaya pemain akan menjadikannya sebagai cabaran dan peluang.”
Tottenham belum mencatat kemenangan dalam EPL sejak menewaskan Crystal Palace pada 28 Disember lalu dan mereka amat memerlukan kemenangan, namun tugas itu dijangka sukar apabila bertemu juara liga, Liverpool.
Liverpool hanya tewas sekali dalam 31 aksi liga di laman sendiri menentang Spurs (21 menang, sembilan seri) dan tidak kalah dalam 14 pertemuan terakhir sejak kekalahan 2-0 pada Mei 2011.
Keadaan Spurs bertambah rumit apabila pemain tengah Joao Palhinha dan kapten Cristian Romero mengalami gegaran otak selepas pertembungan kepala ketika tewas kepada Atletico.
“Dia tidak dapat bermain. Micky (Micky van de Ven) juga digantung. Yves Bissouma pula mengalami kecederaan otot. Conor (Conor Gallagher) demam tetapi mungkin boleh bermain,” kata Tudor.
“Kami ada banyak masalah untuk membentuk kesebelasan utama. Beginilah keadaan di kelab ini… apabila kami mula membina sesuatu, ada sahaja perkara berlaku seperti kad merah atau beberapa kecederaan.”
Penjaga gol Antonin Kinsky menerima kritikan selepas melakukan dua kesilapan besar ketika menentang Atletico sebelum digantikan seawal minit ke-17.
Namun Tudor berkata, penjaga gol utama, Guglielmo Vicario akan kembali beraksi menentang Liverpool.
Walaupun melakukan kesilapan, Tudor tetap mempertahankan Kinsky.
“Dia pasti akan bermain lagi. Sehari selepas itu di sesi latihan, dia sangat positif.
“Situasi seperti itu sangat jarang berlaku dan mungkin kali pertama serta terakhir dalam hidup saya dan ramai orang.
“Dalam kariernya, Kinsky mungkin melakukan kesilapan lagi, tetapi dia mempunyai kekuatan dan kualiti. Masa depannya masih panjang.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



