Acu selipar ketika bertengkar, wanita ditampar lelaki dalam kereta api

Acu selipar ketika bertengkar, wanita ditampar lelaki dalam kereta api
Acu selipar ketika bertengkar, wanita ditampar lelaki dalam kereta api

Video tular memaparkan tindakan seorang wanita memaki dan mengacu selipar kepada penumpang lelaki sebelum bertengkar dalam sebuah kereta api.

NEW DELHI – Satu rakaman video yang memaparkan pertengkaran antara seorang penumpang wanita dan seorang lelaki di dalam sebuah kereta api tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi warganet.

Dalam rakaman tersebut, wanita berkenaan didakwa berulang kali mengeluarkan kata-kata kesat dan hinaan berunsur kasta terhadap lelaki terbabit ketika pertengkaran berlaku di dalam gerabak kereta api.

Difahamkan kejadian itu bermula kerana berebut tempat duduk.

Wanita itu juga dilihat mengacukan seliparnya kepada lelaki berkenaan, seolah-olah mahu memukulnya ketika pertikaian semakin tegang.

Situasi tersebut dipercayai berlarutan beberapa ketika sebelum lelaki terbabit, yang dilihat semakin berang, bertindak menampar wanita berkenaan.

Rakaman kejadian itu kemudiannya tersebar luas di media sosial dengan sebahagian pengguna mengecam tindakan wanita berkenaan kerana mengeluarkan kata-kata hinaan, manakala sebahagian lain pula mengkritik tindakan lelaki itu yang menggunakan kekerasan.

Antara kata-kata yang didakwa dilontarkan wanita berkenaan termasuk kenyataan berbaur penghinaan kasta seperti mendakwa dirinya seorang ‘Pandit’ (terpelajar) dan bukan daripada kasta bawahan.

Insiden itu mencetuskan perbincangan mengenai isu diskriminasi kasta yang masih menjadi perdebatan dalam masyarakat di India.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian serta sama ada laporan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut.

 

 

Ringkasan AI

  • Rakaman video pertengkaran antara seorang penumpang wanita dan lelaki di kereta api tular di media sosial
  • Wanita tersebut mengeluarkan kata-kata kesat dan hinaan berunsur kasta kepada lelaki itu
  • Punca pertengkaran adalah berebut tempat duduk
  • Wanita itu mengacukan selipar seolah-olah mahu memukul lelaki tersebut
  • Insiden tersebut mencetuskan perbincangan mengenai isu diskriminasi kasta di India
Scroll to Top