am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya hanya buat apa yang boleh dan mampu. Jika tidak mampu, saya memang tidak akan buat,” kata pempengaruh dan pelakon baharu, Aizat Saha, 30.
Aizat berkata demikian ketika diminta mengulas trend ramai pempengaruh kini bergelar penyanyi dan menghasilkan lagu raya.
Meskipun ada tawaran, kata Aizat yang dikenali dengan kandungan video di TikTok, beliau tidak berhasrat menceburi bidang nyanyian.
“Memang ada beberapa pihak yang menawarkan saya buat lagu, tetapi saya tidak akan menerima tawaran itu.
“Lebih baik saya fokus kepada apa yang saya boleh lakukan daripada melakukan perkara yang tidak mampu dibuat kerana saya mahu menjaga nama baik dan tidak mahu memalukan diri sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Aizat, setiap orang mempunyai cita-cita dan impian dalam hidup mereka.
“Mungkin sesetengah orang mempunyai impian besar, tetapi jika mereka benar-benar minat menyanyi, perlu pergi belajar dan melakukan persediaan rapi untuk menjadi penyanyi,” katanya.
Berkongsi pengalaman berlakon dalam drama mikro Viu berjudul Di Sebalik Cahaya Raya, Aizat memberitahu dia sudah tiga kali bekerjasama dengan pelakon dan penyanyi, Nabila Razali.
“Saya juga pernah menjalani penggambaran (shooting) video muzik dengannya. Saya selesa dan senang bekerja dengannya kerana beliau banyak membantu serta memberi tunjuk ajar di set,” katanya.
Dari segi cabaran pula, Aizat perlu melakonkan babak menyanyi dalam drama tersebut sedangkan beliau bukan seorang penyanyi.
“Jadi, saya perlu melakukan teknik miming dan sukar dibuat kerana perlu diselaraskan (connect) dengan suara yang sudah mendapat sentuhan kecerdasan buatan (AI). Bagi babak bermain gitar pula, saya memang belajar secara khusus untuk projek ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




