Perak teruskan penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri

Perak teruskan penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri

IPOH: Kerajaan Perak akan meneruskan tradisi penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri meskipun terdapat saranan agar agensi kerajaan tidak menganjurkan majlis sedemikian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri kekal dengan pendirian untuk meneruskan penganjuran majlis berkenaan selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk komitmen tempahan yang telah dibuat.

“Kerajaan negeri mengambil maklum arahan yang dikeluarkan Kabinet itu yang antara lain bertujuan mengurangkan perbelanjaan dalam keadaan ekonomi semasa selain mengelakkan terlalu banyak penganjuran majlis oleh agensi berbeza.

“Bagaimanapun di Perak, sambutan Aidilfitri tetap diadakan seperti biasa. Sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, sebelah pagi kita akan berkumpul di Masjid Ubudiah (di Bukit Chandan) untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum pulang meraikannya bersama keluarga.

“Pada hari Sabtu pula, sebelah pagi kita akan menghadiri majlis sambutan Aidilfitri di Istana yang dianjurkan pihak istana, manakala sebelah petang kerajaan negeri akan menganjurkan rumah terbuka seperti biasa di Stadium Indera Mulia. Itu akan diteruskan seperti kelaziman setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Fiesta Raya Ipoh 2026 Riverfront@Old Town di Kinta Riverwalk di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Mengulas lanjut beliau berkata, mengambil kira saranan kerajaan Persekutuan itu, pihaknya menasihatkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya tidak menganjurkan majlis secara berasingan.

Katanya, jika beberapa agensi bekerjasama menganjurkan majlis secara bersama, perkara itu dibenarkan supaya kemeriahan Aidilfitri dapat diteruskan.

“Jika ada kolaborasi contohnya PKNP (Perbadanan Kemajuan negeri Perak) dan SADC (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri) serta lain agensi nak buat sehari sahaja, kita benarkan, tapi jangan buat hari-harilah,” katanya.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan mengambil langkah penjimatan termasuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka melibatkan agensi kerajaan dan GLC susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Keputusan itu dibuat sebagai mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan secara lebih cermat dan sederhana ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik berkenaan. – UTUSAN

Scroll to Top