hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Selayang: Semangat gotong-royong penduduk sebuah flat di sini, menghias dan menukar lobi lif dan koridor hingga kelihatan ceria dan mewah seperti hotel menarik perhatian netizen.
Ia kerana ruang kecil di sebuah flat di Selayang, di sini, diberi ‘nafas’ baharu menjadikannya lebih ceria dan bersih, hasil kerjasama penduduk bergotong-royong menghias kawasan berkenaan.
Perkongsian beberapa gambar ruang itu di akaun Threads, @ilaalnk turut mendapat perhatian dan pujian netizen sekali gus memberi inspirasi kepada komuniti lain untuk melakukan inisiatif sama.
Berkongsi perkara itu, @ilaalnk berkata, kejiranan flat berkenaan tanpa mengira bangsa sepakat bersama-sama mengindahkan ruangan itu supaya ia cantik dan bersih.
“Daripada flat ke lobi hotel. Tidak sangka rezeki dapat jiran yang baik, sama-sama sepakat dapat menghasilkan ruangan rumah cantik dan bersih seperti ini.
“Aras kami ada jiran Melayu, India dan Pakistan semua rajin bantu sumbang dana dan tenaga, (sumbangkan) makanan pun ada. Meriah, semoga sampai bila-bila hubungan baik ini. Barulah rumahku syurgaku kan,” tulisnya.
Katanya, mereka juga sudah mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan flat mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebelum mengubah suai serta menghias ruang itu, malah turut mengakui ia juga dicadangkan oleh pihak berkenaan.
Difahamkan, aktiviti itu juga dijadikan pertandingan bulanan antara aras di flat berkenaan.
“Ini juga idea daripada pihak pengurusan, selain bertanding (keceriaan antara aras) dapat mengeratkan lagi hubungan antara jiran, daripada tidak kenal (jiran) jadi kenal.
“Jiran yang ‘sporting’. Melayu, India dan Pakistan, bukan (antara orang) Malaysia sudah ini tetapi antarabangsa,” tulisnya yang turut berkongsi aras rumahnya menjadi juara bagi bulan ini.
Menyemak di ruangan komen, perkongsian wanita itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang turut memuji usaha berkenaan.
“Alhamdulillah, terbaik! Teruskan semangat kerjasama, bantu membantu dan menjaga persekitaran kita. Contoh yang baik untuk kita semua,” tulisnya di ruangan komen.
@syafiqbsulaiman berkata, kerjasama dan menyumbang tenaga bersama untuk menghias ruang seperti itu menjadikan kawasan rumah lebih terjaga, kemas, bersih dan cantik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




