Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpandangan kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan adalah berpatutan, malah diyakini masih dalam kemampuan golongan berpendapatan rendah (B40).
Menurutnya, harga tiket perkhidmatan rel itu ditentukan selepas mengambil kira kajian bagi memastikan tambang yang dikenakan bersesuaian dengan kemampuan pengguna.
Malah, beliau berpendapat kadar tersebut tidak mempunyai perbezaan ketara berbanding tambang bas, selain jauh lebih rendah daripada kos perjalanan menggunakan kapal terbang.
“Setelah dikaji, kita rasakan ia berpatutan dan mampu dibayar oleh mereka yang berpendapatan B40 pun saya fikir mampu.
“Harganya juga tidak jauh berbeza dengan tambang bas, manakala tambang kapal terbang lebih tinggi.
“Saya dapati dalam media sosial tiada komen negatif pun berhubung tambang itu. Malah, ramai yang menyambut baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih Akademi Rel Pahang (ARP) Program PLKI-ECRL Sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang, pada Khamis.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengumumkan tambang kelas ekonomi ECRL bagi perjalanan sehala dari Gombak ke Kota Bharu bermula RM125 untuk perkhidmatan transit dan RM147 bagi ekspres.
Bagi laluan Gombak ke Kuala Terengganu pula, tambang ditawarkan bermula RM95 untuk transit dan RM110 bagi ekspres, manakala perjalanan Gombak ke KotaSAS masing-masing bermula RM60 dan RM68.

Dalam usaha meringankan kos perjalanan pengguna tertentu, Jemaah Menteri turut meluluskan potongan tambang sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan.
Pelajar berusia antara 13 hingga 24 tahun pula layak menerima diskaun sebanyak 40 peratus.
Mengulas kemungkinan pemberian diskaun tambahan kepada anak kelahiran Pahang, termasuk sempena hari lahir, Wan Rosdy berkata perkara itu perlu dirunding bersama MRL memandangkan keputusan tersebut bukan di bawah bidang kuasanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang cadangan potongan harga perlu dinilai dari sudut kemampuan kewangan sebelum dipertimbangkan.
“Kita kena tengok implikasi kewangannya macam mana,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, kerajaan Pahang turut mencadangkan supaya jaringan ECRL diperluaskan sehingga ke Rompin dan Kuala Lipis, namun perkara itu masih memerlukan kajian lanjut.
Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan seramai 47 pelatih Akademi Rel Pahang berjaya melengkapkan latihan teknikal selama setahun di China sebelum ditawarkan pekerjaan oleh MRL.

Jelasnya, program kerjasama kerajaan negeri, MRL, University College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Yayasan Pahang itu bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir lebih awal sebelum ECRL memulakan operasi.
“Bermakna, tidaklah bila ECRL ini beroperasi, baru kita nak cari tenaga kerja. Kita telah pun menyediakan peluang pekerjaan kepada MRL.
“Kita berharap anak jati Pahang diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan di tujuh stesen ECRL di negeri ini,”ujar beliau.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan pembiayaan kursus lanjutan kepada pelatih sekiranya diperlukan, dengan latihan disesuaikan mengikut keperluan tenaga kerja MRL.
Sumber: Sinar Harian (Norawazni Yusof)






