am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: “Saya sempat mengajarnya mengucap dan arwah mengikutinya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” kata Muhammad Afiq Daniel Norazri, 19, rakan kepada Muhammad Aiman Khairul Anuar yang maut dalam kemalangan di Jalan Pusara di sini, hari ini.
Dalam kejadian 5.55 petang itu, Muhammad Aiman, 19, meninggal dunia di lokasi selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta.
Muhammad Afiq Daniel berkata, ketika kejadian, dia dan empat rakan termasuk mangsa baru habis bekerja dan dalam perjalanan ke kedai makan milik sepupunya.
Dakwanya ketika menunggang motosikal di belakang mangsa, sebuah Toyota Vios tiba-tiba memotong kenderaan lain untuk masuk ke simpang kanan.
“Apabila menyedari ada motosikal dari arah hadapan, pemandu kereta berhenti secara tiba-tiba.
“Akibatnya, arwah tidak sempat membrek lalu merempuh kereta itu dan tercampak di atas jalan,” katanya di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya lagi, dia terus bergegas memangku kepala rakannya sebelum memberitahu mahu ke kedai sepupunya untuk meminta bantuan.
Katanya, mangsa sempat mengangguk, namun sebaik sahaja dia kembali ke tempat kejadian, keadaan rakannya semakin kritikal.
Muhammad Afiq Daniel berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Temir, Kuala Berang, Hulu Terengganu sangat gembira dan sempat mengambil gambar swafoto sebelum balik kerja tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu wanita berusia 51 tahun yang datang dari arah Jalan Sungai Rengas cuba membelok ke simpang kiri.
“Penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri kereta terbabit,” katanya yang memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




