MPT nafi tiga gajah di Jepun diabai, diseksa

MPT nafi tiga gajah di Jepun diabai, diseksa

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menafikan berlaku pengabaian atau penyeksaan terhadap tiga gajah miliknya yang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, susulan kebimbangan masyarakat mengenai kebajikan haiwan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Mohamed Akmal Dahalan berkata, laporan terkini pihak zoo serta penilaian MPT mendapati ketiga-tiga gajah, iaitu Dara, Amoi dan Kelat berada dalam keadaan baik, aktif dan sihat serta berjaya menyesuaikan diri.

Menurutnya, tingkah laku menggoyangkan kepala atau head swaying yang menjadi perhatian di media sosial tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan, kemurungan atau kebajikan haiwan yang terjejas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Head swaying yang berlaku tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan kerana ia juga merupakan indikator yang menunjukkan tingkah laku ‘food anticipation’ atau menjangka makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Akmal turut menegaskan, dakwaan bahawa Kelat diberikan suntikan hormon bagi meningkatkan kekerapan episod ‘musth’ adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, Kelat hanya mengalami dua fasa ‘musth’ sejak tiba di Jepun, masing-masing pada Mei dan September lalu manakala penurunan berat badan ketika melalui kedua-dua fasa tersebut disifatkan sebagai normal.

“Berat badan Kelat ketika ini telah meningkat menghampiri berat badan yang direkodkan sebelum fasa ‘musth’ yang kedua pada September 2026,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga gajah mencatatkan pertambahan berat badan berbanding ketika tiba di Jepun pada Mac lalu, dengan Kelat meningkat sebanyak 580 kilogram (kg), Dara sebanyak 575 kg dan Amoi sebanyak 405 kg.

Katanya, peningkatan itu menunjukkan pengambilan makanan dan tahap kesihatan ketiga-tiga gajah berada pada tahap memuaskan berdasarkan rekod pemantauan.

Beliau berkata, diet harian haiwan berkenaan disediakan mengikut keperluan nutrisi spesies oleh pasukan penjaga haiwan serta dipantau pegawai veterinar, merangkumi rumput kering berkualiti, pucuk buluh, rumput segar, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelet khas, selain garam serta vitamin.

Dalam pada itu, katanya, Dara, Amoi dan Kelat telah ditempatkan semula bersama sejak 20 September lalu serta mempunyai akses bebas ke seluruh kawasan pameran dan kurungan malam.

Menurutnya, pihak Zoo Tennoji turut melaksanakan program pengayaan melalui kepelbagaian aktiviti, makanan dan kaedah pemberian makanan bagi membantu kesejahteraan serta kesihatan mental haiwan berkenaan.

Mohamed Akmal berkata, MPT menghormati kebebasan masyarakat menyuarakan pandangan, namun sebarang dakwaan mengenai kebajikan gajah perlu disokong fakta, maklumat sahih dan penilaian profesional supaya tidak menimbulkan salah faham yang boleh menjejaskan usaha konservasi serta kerjasama antarabangsa.

Tegasnya, kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan ketiga-tiga gajah kekal menjadi keutamaan MPT, selain perkembangan haiwan berkenaan akan terus dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa. – UTUSAN

Scroll to Top