700 kereta terpakai musnah dalam kebakaran

700 kereta terpakai musnah dalam kebakaran

am@hmetro.com.my

Tuaran: Sebanyak 700 kenderaan musnah dalam kebakaran sebuah stor penyimpanan kereta terpakai di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, di sini, hari ini.

Kebakaran kira-kira jam 1 tengah hari itu dipercayai bermula di kawasan hutan berhampiran sebelum merebak ke stor penyimpanan kereta berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 1.10 tengah hari.

Katanya, seramai sembilan anggota dikerah ke lokasi kejadian sejauh lima kilometer (km) bersama dua jentera dan satu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan stor penyimpanan kereta terpakai yang terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman turut dibantu dua jentera dari dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu dengan kekuatan keseluruhan seramai 25 anggota,” katanya dihubungi.

Menurutnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan manakala api berjaya dikawal jam 3.31 petang sebelum kerja-kerja pemeriksaan serta overhaul dijalankan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh menyebabkan kebakaran semula,

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.55 petang,” katanya.

Difahamkan, kira-kira 30 kenderaan sempat diselamatkan dan operasi turut dibantu oleh enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keadaan di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top