am@hmetro.com.my
Alor Setar: Penunggang motosikal yang maut dihempap pokok di Jalan Stadium berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, di sini hari ini dipercayai dalam perjalanan untuk menjemput isterinya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, ketika kejadian, mangsa Ahmad Farazi Kasim, 51, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz seorang diri dalam perjalanan mengambil isterinya yang bekerja di pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Jalan Stadium, di sini.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 1.06 petang memaklumkan terdapat pokok tumbang dan menimpa dua penunggang motosikal.
“Mangsa yang meninggal dunia bekerja sebagai pemandu di Jabatan Pengairan & Saliran (JPS).
“Seorang lagi mangsa yang juga penunggang motosikal jenis Honda Wave Alpha, Muhammad Adib Uzaid, 36, pula cedera ringan di lutut dan dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini
Katanya, dalam kejadian itu, penunggang yang selamat memaklumkan sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menimpa mangsa yang berada di hadapannya manakala dia sempat mengelak,
Syed Basri berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dihempap pokok tumbang berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, di sini hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




