sukan@hmetro.com.my
Melaka: Jaringan pemain sayap Che Rashid Che Halim pada babak kedua membolehkan Melaka FC (MFC) mengatasi Kelantan The Real Warriors (TRW) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Che Rashid yang dimasukkan pada awal babak kedua menggantikan G Durrkeswaran meledak jaringan kemenangan pada m-66 ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Bagaimanapun, TRW lebih awal di depan menerusi Enzo Celestine pada m-12 untuk mengejutkan tuan rumah yang mengimpikan kemenangan selepas masih bergelut melepasi kedudukan kedua terbawah liga.
Apapun dengan ketinggian 1.90 meter penyerang dari Perancis terbabit nyata mudah menanduk masuk gol pembukaan pelawat hasil sepakan sudut Azwan Mohd Aripin sekali gus menewaskan penjaga gol Samuel Jacob.
Melaka yang lebih kerap melakukan serangan turut memiliki peluang menyamakan kedudukan menerusi Dino Kalesic pada m-24 namun rembatannya tinggi melepasi palang gol begitu juga tandukan Sharel Fikri empat minit selepas itu pula tersasar.
Selepas giat mengasak MFC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi import dari Mesir Ahmad Shamsaldin menewaskan penjaga gol Mohammad Fikri Che Soh.
Gol terbabit terhasil selepas Ahmed merembat ke kiri gawang pelawat selepas menerima hantaran Donghyon Do pada m-44 perlawanan.
Bersambung di babak kedua jurulatih MFC, E Elavarasan memasukkan bekas pemain kebangsaan Mahalli Jasuli menggantikan Shahrel Fikri dalam usaha mereka menekan pertahanan TRW.
Ketika Muhammad Fikri Che Soh bijak menyelamatkan percubaan Kalesic pada m-64 namun akhirnya sekali lagi tewas menerusi rembatan Che Rashid dua minit selepas itu bagi membolehkan MFC meraih mata maksimum.
Kemenangan terbabit membolehkan skuad Hang Tuah mengumpul 14 mata daripada 19 perlawanan untuk berada di tangga ke-12 sementara TRW masih di kedudukan ke-11 liga dengan 15 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




