
Jabatan Negara AS pada Jumaat mengumumkan ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat yang membawa kepada pengenalpastian atau lokasi pemimpin utama Iran.
WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengumumkan ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat yang membawa kepada pengenalpastian atau lokasi pemimpin utama Iran, termasuk Pemimpin Agung baharu negara itu Mojtaba Khamenei, lapor Anadolu Ajansi.
Pengumuman yang dikeluarkan menerusi program Rewards for Justice jabatan itu menyatakan bahawa individu yang disasarkan “memerintah dan mengarahkan pelbagai elemen dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang dituduh Washington merancang serta melaksanakan serangan di seluruh dunia.
Antara individu yang disenaraikan dalam notis itu ialah Khamenei, Ali Asghar Hejazi, timbalan ketua turus di pejabat pemimpin agung; serta Yahya Rahim Safavi, penasihat kanan ketenteraan kepada pemimpin agung.
Terdahulu pada hari yang sama, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mendakwa pemimpin agung Iran yang baru dilantik itu “cedera” dan “berkemungkinan cacat” ketika AS dan Israel terus melancarkan serangan ke atas negara berkenaan.
Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lepas, yang setakat ini mengorbankan kira-kira 1,300 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ali Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, mengakibatkan kemalangan jiwa serta kerosakan terhadap infrastruktur awam selain menjejaskan pasaran global dan sektor penerbangan. – Bernama/Anadolu
Ringkasan AI
- Jabatan Negara Amerika Syarikat mengumumkan ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat tentang pemimpin utama Iran
- Pemimpin Agung baru Iran, Mojtaba Khamenei termasuk dalam senarai individu yang disasarkan
- Individu yang disasarkan didakwa mengarahkan Kor Pengawal Revolusi Islam yang melakukan serangan di seluruh dunia
- Setiausaha Pertahanan AS mendakwa pemimpin agung Iran yang baru berkemungkinan cacat akibat serangan AS dan Israel
- Ketegangan di Asia Barat meningkat dengan tindak balas Iran melancarkan serangan ke atas Israel dan negara lain yang menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur



