Milan kempunan kejar Inter

Milan kempunan kejar Inter

Rom: AC Milan terlepas peluang terbaik merapatkan jurang di puncak Serie A selepas tewas 0-1 kepada Lazio dalam aksi di gelanggang lawan, awal pagi tadi.

Gol tunggal Gustav Isaksen pada separuh masa pertama memastikan Milan pulang hampa sekali gus ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan.

Milan sebenarnya berpeluang mengejar seteru setempat itu selepas Inter sekadar seri 1-1 dengan Atalanta, namun gagal memanfaatkan kesempatan dalam perlawanan yang menyaksikan mereka bergelut menguasai permainan.

Kekalahan itu juga menjadi kekalahan pertama Milan di tempat lawan dalam saingan liga musim ini.

Lazio hampir membuka jaringan pada minit ke-25 apabila Daniel Maldini mencipta peluang kepada Kenneth Taylor, namun percubaannya sekadar menggegar palang gol.

Seminit kemudian tuan rumah mendahului apabila Isaksen memintas kawalan pertahanan untuk mengejar hantaran jauh sebelum meledak gol dari sudut sukar.

Milan cuba bangkit selepas rehat menerusi percubaan Christian Pulisic dari luar kotak penalti, tetapi penjaga gol Lazio, Edoardo Motta bertindak cemerlang menafikan jaringan.

Penyerang Milan, Rafael Leao pula dilihat berang selepas dikeluarkan, dengan penjaga gol Mike Maignan menenangkannya ketika dia berbalah dengan jurulatih Massimiliano Allegri.

“Leao sedikit kecewa kerana ada beberapa situasi di mana dia sepatutnya menerima hantaran lebih baik, jadi dia agak marah, tetapi perkara seperti ini boleh berlaku dalam perlawanan,” kata Allegri.

Milan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-75 menerusi Zachary Athekame, namun jaringan itu dibatalkan selepas pengadil memutuskan dia mengawal bola menggunakan tangan sebelum menjaringkan gol.

Kekalahan itu menyaksikan Milan kekal dengan 60 mata, manakala Inter mendahului dengan 68 mata dengan sembilan perlawanan berbaki.

Lazio pula berada di tangga kesembilan dengan 40 mata.

“Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah menekan butang reset.

“Ramai bercakap mengenai Scudetto selepas kemenangan ke atas Inter, tetapi kita perlu realistik dalam kehidupan.

“Kami perlu ingat bahawa sasaran sebenar adalah layak ke Liga Juara-Juara, jika tidak kami berisiko memusnahkan apa yang dibina dalam tempoh enam bulan terakhir,” kata Allegri.

Dalam masa kecederaan, pengendali Lazio Maurizio Sarri dilayangkan kad merah selepas bertikam lidah dengan pengadil.

“Saya dibuang padang kerana beliau memberikan enam minit masa tambahan dan kemudian menambah dua minit lagi. Saya hanya bertanya dari mana datangnya masa itu.

“Saya tidak menghina sesiapa, cuma menggunakan ungkapan yang agak keras,” kata Sarri.

Dalam satu lagi perlawanan, pasukan kejutan musim ini, Como menewaskan AS Roma 2-1 untuk melonjak ke tangga keempat Serie A mengatasi Juventus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top