
Jaringan penyamaan Richarlison (kanan) pada hujung permainan meragut kemenangan Liverpool di Anfield. FOTO: Agensi
LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher mula mempersoalkan masa depan pengurus Arne Slot selepas keputusan seri 1-1 menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada awal pagi Isnin.
Liverpool tampak berada di landasan tepat untuk meraih tiga mata apabila sepakan percuma Dominik Szoboszlai pada minit ke-18 meletakkan tuan rumah di depan.
Namun jaringan saat akhir Richarlison memadam kelebihan itu sekali gus menghadiahkan mata pertama buat Spurs selepas lima kekalahan berturut-turut.
Keputusan itu juga menyaksikan Liverpool terlepas peluang untuk melonjak ke tangga keempat liga, sekali gus menambah tekanan terhadap Slot dalam musim mempertahankan kejuaraan yang mengecewakan.
Carragher menyifatkan persembahan pasukan itu hambar, lebih-lebih lagi apabila Tottenham hadir ke Anfield dalam keadaan prestasi merudum.
“Persoalan utama kini sama ada kemerosotan Liverpool berpunca daripada pengurus atau komposisi skuad yang tidak seimbang,” ujarnya.
Bekas kapten Manchester United, Roy Keane pula berpandangan Liverpool sudah kehilangan mentaliti kemenangan.
Beliau turut menyentuh jurang besar yang memisahkan Liverpool dengan pendahulu liga, Arsenal apabila penyandang juara itu kini ketinggalan 21 mata.
Dalam perkembangan sama, pengurus Tottenham, Igor Tudor, mungkin menarik nafas lega selepas jaringan lewat Richarlison memastikan pasukannya membawa pulang satu mata dari Anfield.
Sebelum ini, Tudor berdepan tekanan hebat susulan kekalahan kepada Atlético Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.



