Manchester: Enam wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam Liga Juara-Juara (UCL) berdepan tamparan hebat selepas gagal mencatat sebarang kemenangan pada aksi pertama pusingan 16 terbaik minggu lalu.
Manchester City, Chelsea dan Tottenham kini berada dalam situasi sukar apabila masing-masing ketinggalan tiga gol kepada Real Madrid, Paris Saint-Germain dan Atletico Madrid menjelang aksi timbal balik.
Liverpool dan Arsenal pula masih berpeluang mara apabila dijangka mampu bangkit menentang Galatasaray dan Bayer Leverkusen.
Sementara itu, Newcastle United menyimpan harapan untuk mencipta kejutan di Camp Nou selepas mempamerkan aksi meyakinkan ketika seri 1-1 dengan Barcelona di St James’ Park.
Prestasi hambar itu dilihat sebagai satu wake-up call buat kelab EPL selepas mendominasi peringkat awal kejohanan.
Antara faktor utama yang sering diperkatakan adalah keletihan akibat jadual padat sepanjang musim.
EPL menjadi satu-satunya liga utama Eropah yang tidak mempunyai rehat musim sejuk selain perlu mengharungi dua kejohanan domestik iaitu Piala FA dan Piala Liga.
Bekas Presiden UEFA, Michel Platini pernah menggambarkan situasi kelab England sebagai ‘singa pada musim sejuk, tetapi menjadi kambing pada musim bunga’.
Pengurus Liverpool, Arne Slot turut mengakui ketiadaan rehat musim sejuk memberi kesan kepada prestasi pasukan England.
Selain faktor keletihan, beberapa kelab England juga berdepan lawan yang mempunyai kekuatan kewangan dan pengalaman lebih besar.
Real Madrid, kelab terkaya dunia, menewaskan Manchester City 3-0 di Santiago Bernabeu.
Juara bertahan PSG pula menundukkan Chelsea 5-2 manakala Barcelona bernasib baik apabila seri 1-1 menentang Newcastle selepas penalti lewat Lamine Yamal.
Tottenham pula tewas 2-5 kepada Atletico Madrid ketika prestasi domestik mereka juga tidak menentu.
“EPL memang liga terbaik, tetapi UCL sangat sukar dan semua pasukan sudah bersedia dengan baik,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
Musim ini juga menyaksikan EPL menjadi lebih fizikal dengan banyak pertarungan badan serta situasi bola mati.
Penyerang Newcastle, Anthony Gordon menyifatkan liga itu sangat menuntut dari segi fizikal dan penuh dengan pertarungan antara pemain.
Slot pula sebelum ini berkata, gaya permainan di England kini kurang menyeronokkan untuk ditonton kerana terlalu bergantung kepada situasi bola mati.
Perbezaan pendekatan permainan itu juga memberi kesan apabila pasukan England berdepan lawan dari liga lain di Eropah yang lebih menitikberatkan penguasaan bola dan kawalan permainan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




