Baiknya kerajaan Pahang, bagi duit saku RM100

Baiknya kerajaan Pahang, bagi duit saku RM100

am@hmetro.com.my

Kuantan: Kerajaan Pahang terus komited menyantuni anak Pahang di perantauan melalui pelaksanaan Program Baucar Raya `Moh Balik Negeri Pahang’ yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 2024 itu sebagai inisiatif kerajaan negeri bagi membantu anak Pahang di perantauan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.

Katanya, pada 2024 dan 2025, kerajaan negeri memberi baucar petrol atau diesel berjumlah RM50 kepada 5,000 penerima.

“Namun, tahun ini, pelaksanaan program dipertingkatkan dengan pembelian barangan menerusi aplikasi e-wallet PahangGo. Nilai baucar juga dinaikkan kepada RM100 seorang, manakala jumlah penerima meningkat kepada 10,000 anak Pahang di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,000 orang menerima baucar pada majlis di Kuala Lumpur malam tadi, manakala baki 8,000 penerima lagi akan menerima baucar melalui penyerahan oleh kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing di Pahang,” katanya dalam kenyataan tadi.

Wan Rosdy berkata, berdasarkan rekod, Program Baucar Raya `Moh Balik Negeri Pahang’ menerima sambutan luar biasa dengan 77,452 permohonan diterima dalam tempoh tujuh hari sahaja sejak permohonan dibuka.

Katanya, pemilihan penerima dilaksanakan secara teliti oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang untuk memastikan pengagihan dibuat secara adil serta mengelakkan pertindihan penerima.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang pada 2024 sebagai jambatan penghubung antara kerajaan negeri dan anak-anak Pahang di perantauan.

“Melalui sekretariat ini pelbagai program dilaksanakan seperti Larian Tok Gajah, program Baucar Raya dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Anak Pahang.

“Saya berharap inisiatif ini dapat membantu mereka pulang beraya bersama keluarga serta terus mengeratkan hubungan dengan negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top