PN sah terima masuk MIC, tawar posisi lebih baik

PN sah terima masuk MIC, tawar posisi lebih baik

Perikatan Nasional (PN) dilaporkan menawarkan peranan serta kedudukan yang lebih baik kepada MIC sekiranya parti itu menyertai gabungan tersebut sebagai parti anggota.

Tawar posisi lebih baik

Memetik laporan Sinar Harian, Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan mengemukakan surat rasmi kepada MIC bagi memaklumkan penerimaan parti itu sebagai salah satu komponen dalam gabungan berkenaan.

Difahakam, beliau dijadual bertemu Presiden MIC, S A Vigneswaran di Kuala Lumpur pada malam Selasa untuk menjelaskan perkara tersebut.

“MIC sebenarnya telah diterima lebih awal iaitu pada Disember 2025, namun mesyuarat terbaru PN pada 14 Mac lalu telah mengesahkan minit penerimaan parti itu sebagai parti anggota di bawah kepimpinan baharu,” katanya pada Selasa.

Menurut beliau, ketika ini PN dianggotai empat parti utama iaitu Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti India Malaysia (MIPP). Jika MIC menyertai gabungan tersebut, jumlah parti anggota akan meningkat kepada lima.

Dalam masa sama, Takiyuddin menegaskan bahawa kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN) bukan berada di bawah bidang kuasa PN.

“Itu isu mereka. Apabila mereka memohon untuk menyertai PN dan kita menerima permohonan itu, bagi kita perkara itu sudah selesai,” jelasnya.

Mengulas kemungkinan penyertaan parti lain, beliau mengesahkan terdapat beberapa permohonan yang masih dalam pertimbangan.

Memang ada banyak lagi parti memohon untuk menyertai PN, tetapi kita belum membuat keputusan. Baru-baru ini pun ada tiga atau empat parti memohon,” ujarnya.

Tambah beliau, situasi ini mencerminkan pendekatan PN yang semakin terbuka dan inklusif di bawah kepimpinan baharu.

Katanya, sebelum ini kebanyakan jawatan utama dalam PN dipegang oleh pemimpin daripada Bersatu dan Pas, namun kini penyertaan turut melibatkan wakil daripada parti lain.

“Sekarang kita lihat Timbalan Setiausaha Agung daripada Gerakan dan MIPP, selain Bersatu dan Pas. Kemungkinan MIC juga akan diberikan peranan dan posisi dalam PN,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Tawaran tak pasti! Zahid Hamidi balas cubaan PAS pancing MIC, MCA sertai PN

Beliau turut menjelaskan bahawa PN membuka keahlian melalui tiga kategori iaitu parti anggota, ahli bergabung dan ahli bersekutu.

Menurutnya, kategori ahli bergabung merangkumi NGO atau parti lain yang bersifat mesra PN, manakala ahli bersekutu pula melibatkan individu yang ingin menyertai gabungan itu secara langsung.

Bagaimanapun, setakat ini tiada parti dari Sabah dan Sarawak yang mengemukakan permohonan untuk menjadi parti anggota PN.

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)

Scroll to Top