Rahadiazli, Suhaimi, Alif kekal bersama TFC sehingga Mei 2028

Rahadiazli, Suhaimi, Alif kekal bersama TFC sehingga Mei 2028

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim kekal bersama skuad itu sehingga musim 2028.

Terdahulu bekas penjaga gawang skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu dikatakan bakal ‘angkat kaki’ meninggalkan pasukan selepas dikhabarkan mendapat tawaran daripada kelab Brunei, DPMM FC.

Bagaimanapun menerusi hebahan media rasmi kelab itu sebentar tadi, penjaga gol itu sah kekal bersama skuad Penyu dalam mengharungi saingan 2026/2027.

“Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim secara rasmi menandatangani lanjutan kontrak bersama skuad Penyu sehingga Mei 2028,” demikian ringkas menurut kenyataan kelab itu hari ini.

Turut disambung kontrak adalah adalah penjaga gol berpengalaman, Suhaimi Husin yang diikat sehingga Mei 2027.

“Secara rasminya penjaga gol berpengalaman TFC, Suhaimi Husin sah menandatangani lanjutan kontrak bersama skuad Penyu sehingga Mei 2027,” demikian menurut kenyataan kelab itu sebentar tadi.

Selain dua penjaga gawang itu, pertahanan kiri skuad itu, Muhammad Alif Zakaria yang juga antara watak penting skuad itu pada musim lalu turut disambung kontrak sehingga Mei 2028.

“Pemain pertahanan Terengganu FC, Alif Zakaria menandatangani lanjutan kontrak bersama kelab TFC sehingga Mei 2028,” demikian menurut kenyataan kelab itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top