Anwar kritik pihak tak mahu duduk semeja bersama DAP

Anwar kritik pihak tak mahu duduk semeja bersama DAP

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Segamat: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengkritik pihak yang menyatakan tidak mahu duduk semeja bersama DAP.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan keengganan duduk semeja dengan DAP adalah kata-kata yang tidak baik dan seharusnya tidak dikeluarkan bagi menjaga hati dan perasaan anggota parti lain.

“Jadi orang besar, ini Cina DAP tak boleh duduk satu meja. Cakap ini tak baik. Lu jaga orang punya perasaan. Orang Cina mahu pilih DAP, DAP lah.

“You sakit hati apa pasal? You ingat you hero kah? You ingat you ada kuasa kah? Oh, ini parti aku tak mau, ini saja boleh. Wah you ingat you siapa?

“Saya tak setuju cara ini. Kita mesti raikan. Apa salah DAP?,” katanya semasa berucap pada Program Ramah Mesra Bersama PMX bagi DUN Pemanis di Kampung Jawa di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengarah Jentera Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari

Dalam ucapannya, Anwar turut menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa beliau mengikut telunjuk DAP dan merupakan seorang individu yang boleh dibeli.

Katanya, beliau telah melalui pelbagai episod buruk termasuk pernah memasuki penjara dan menegaskan tidak pernah menjual harga diri.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri, apa yang dimahukan olehnya ialah menjaga Malaysia serta rakyatnya yang terdiri daripada berbilang kaum.

“Saya ditendang dipukul pun sudah kena, masuk jel pun sudah. You ingat saya mahu jual diri kah? Saya mahu jaga negeri ini. Saya mahu jaga Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan saya mahu negeri ini maju,” katanya.

Anwar berkata, sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, pelbagai perkara besar telah dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah menyatupadukan rakyat Malaysia.

“Perkara besar kita buat. Apa? Nombor satu, kita cuba bawa semua rakyat bersatu. Kita ingatkan orang Melayu, dia mahu sekolah-sekolah agama, sekolah Islam kita tingkatkan, kita bantu.

“Orang Cina, dia kata bagi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), bagi peluang masuk universiti. Sejak merdeka, first time (pertama kali) kita bagi kepada UEC.

“Orang India, peruntukan sekolah Tamil, kemudahan kita tingkatkan. Ini kenyataan,” katanya.

Selain itu katanya, antara perkara besar dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya adalah dengan menurunkan harga minyak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top