Perang Timur Tengah boleh beri kesan pada air negara

Perang Timur Tengah boleh beri kesan pada air negara

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Konflik perang Timur Tengah turut memberi kesan langsung kepada perkhidmatan air terutama membabitkan isu stok bahan kimia serta alat ganti mekanikal dan elektrikal.

Susulan itu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa operator perkhidmatan air mengambil langkah mitigasi sewajarnya susulan situasi semasa ketegangan laluan perdagangan di Selat Hormuz dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan.

Dalam kenyataan hari ini, SPAN memaklumkan langkah mitigasi membabitkan usaha memastikan ketersediaan stok bahan kimia serta alat ganti mencukupi bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan akan datang.

“Secara amnya, industri perkhidmatan air bergantung secara langsung terhadap dua aspek melibatkan pasaran antarabangsa iaitu bahan api untuk tujuan rawatan dan agihan air serta logistik dan peralatan alat ganti serta bahan kimia untuk kegunaan di loji, saluran perpaipan serta untuk merawat air.

“Berdasarkan pemantauan semasa, kesan ketara belum dirasai operator memandangkan impak kenaikan kos bahan api masih terkawal seperti pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan begitu juga kos alat ganti dan bahan pemprosesan yang belum menunjukkan sebarang kenaikan ketara,” menurut kenyataan itu.

SPAN memaklumkan pihaknya akan terus memantau melalui penilaian impak dari masa ke masa dan tidak menolak sebarang kemungkinan kesan langsung yang bakal menyulitkan industri sekiranya konflik berterusan.

SPAN memaklumkan sebarang kenaikan kos secara mendadak akan memberi kesan terhadap pengoperasian operator perkhidmatan air dan jika perlu, langkah sewajarnya akan diusulkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Tindakan itu bagi memastikan impak terhadap pengguna dapat diminimumkan dan pada waktu sama memastikan kemampuan industri untuk kekal memberikan perkhidmatan sewajarnya.

“PETRA melalui SPAN sentiasa proaktif dalam meneliti potensi dan risiko nyata atau tidak nyata terhadap industri perkhidmatan air dan akan mengambil langkah yang wajar dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

SPAN juga menyeru pengguna untuk menggunakan air dan tenaga secara berhemat terutama pada musim perayaan, khususnya ketika menghadapi krisis global kerana penggunaan yang wajar dapat memastikan bekalan mencukupi untuk semua dan kos pengoperasian dikawal daripada sebarang kesan buruk krisis semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top