Cef selebriti, Chef Riz terus mengorak langkah dalam dunia kulinari apabila membuka restoran baharu miliknya yang kini mula beroperasi di 168 Park Mall, Selayang.
Menurut Chef Riz, premis BowlCrafted baru beroperasi kira kira sebulan dan setakat ini menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan.
Tambahnya, sebuah lagi cawangan baharu dijadualkan mula beroperasi pada 16 Mac ini di KL Eco City Mall, Bangsar.
“Perbezaan utama antara kedua dua cawangan ialah dari segi saiz premis. Cawangan di Bangsar mempunyai ruang yang lebih besar berbanding outlet di 168 Park Mall,” katanya.
Restoran tersebut menawarkan pelbagai hidangan yang diinspirasikan daripada cita rasa tempatan. Antara sajian utama yang tersedia termasuk Nasi Kerabu Ayam Percik, Nasi Briyani Kambing, Penang Asam Laksa Udang dan Mee Jawa Daging.

Selain hidangan utama, pelanggan juga boleh menikmati pencuci mulut tradisional seperti cendol dan bubur pulut hitam.
Dalam usaha memudahkan urusan pelanggan, restoran itu menggunakan sistem pesanan melalui kiosk.
Chef Riz berkata konsep yang dibawa lebih menjurus kepada pendekatan fast casual supaya pelanggan dapat membuat pesanan dengan lebih cepat dan mudah.
Menurutnya, aspek harga juga diberi perhatian agar kekal berpatutan dan sesuai dinikmati oleh lebih ramai pelanggan.
“Dari segi harga, kami cuba pastikan ia tidak terlalu tinggi dan masih berada pada tahap yang mampu dinikmati oleh ramai orang,” katanya.
Pada masa sama, pihaknya turut merancang untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih pada masa hadapan bagi menambah baik pengalaman pelanggan.

“Menerusi aplikasi itu nanti, pelanggan boleh mengumpul mata ganjaran dan menebusnya semasa membuat pembelian di restoran,” katanya.
Restoran tersebut beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Dalam perkembangan sama, Chef Riz turut memeriahkan sebuah program komuniti yang berlangsung di 168 Park Mall menerusi demonstrasi masakan secara langsung kepada para pengunjung.
Program itu diadakan sempena kempen Kongsi Rezeki yang dianjurkan pihak pusat beli-belah berkenaan bagi membantu rumah kebajikan dan rumah anak yatim.
Menerusi kempen tersebut, orang ramai digalakkan menyumbang barangan keperluan yang kemudiannya akan disalurkan kepada golongan memerlukan melalui kerjasama beberapa rakan strategik.
Inisiatif tersebut diadakan sebagai usaha untuk menyemarakkan budaya berkongsi rezeki dan membantu masyarakat yang memerlukan.



