Hukuman AFC wajar diambil secara positif, Harimau Malaya pasti bangkit – Sulaiman

Hukuman AFC wajar diambil secara positif, Harimau Malaya pasti bangkit – Sulaiman

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendekatan lebih proaktif perlu dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mengenakan hukuman denda serta pemotongan mata terhadap skuad Harimau Malaya.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, beberapa langkah penting perlu dirangka segera termasuk memperketatkan proses pengesahan status pemain serta memperkukuh aspek perundangan dalam pentadbiran badan induk itu.

“Koordinasi antara setiap jabatan dan unit turut perlu dipertingkatkan supaya segala urusan berkaitan pemain dapat diselaraskan dengan lebih teliti,” katanya.

Sulaiman turut menekankan kepentingan pematuhan penuh terhadap statut dan peraturan antarabangsa, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh AFC dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pada masa sama, beliau berpandangan pembangunan bakat tempatan harus menjadi keutamaan dengan usaha memperluas program akar umbi serta memperkasakan liga domestik dilihat sebagai platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

Walaupun hukuman itu memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027, Sulaiman melihat terdapat beberapa perkembangan positif.

“Antaranya termasuk peningkatan kesedaran terhadap kepentingan tadbir urus yang telus, sikap lebih berwaspada berkaitan integriti serta penambahbaikan menyeluruh dalam sistem pengurusan pemain.

“Situasi yang berlaku ini adalah peluang untuk membina semula pasukan dengan asas lebih kukuh, selain menyaksikan komitmen lebih padu dalam kalangan pemain dan pegawai untuk bangkit semula.

“Dengan sokongan berterusan daripada penyokong, saya percaya Harimau Malaya mampu kembali lebih kompetitif di pentas antarabangsa.

“Dalam jangka masa panjang, episod ini wajar dijadikan pengajaran berharga bagi memperkukuh asas bola sepak negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Semalam, FAM mengesahkan sudah menerima keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang dan dipengerusikan Jahangir Baglari.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.

Dua aksi terbabit adalah pertemuan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 yang menyaksikan Malaysia menang 2-0, selain kemenangan 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan selepas AFC memutuskan Malaysia dianggap tewas 0-3 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan mengikut Artikel 25.1 kod sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top