mdroji@bh.com.my
Kuching: Seorang petugas pengukuran sempadan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di kawasan Sungai Ulu Temburong di Lawas, berhampiran sempadan Malaysia–Brunei, pada Selasa lalu.
Mangsa dikenali sebagai Donysius Gabriel Goh, 36, bersama lima lagi petugas berada di lokasi berkenaan bagi menjalankan operasi pengukuran sempadan antarabangsa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.19 malam Rabu.
Beliau berkata, susulan itu, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas digerakkan ke lokasi untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).
Berdasarkan maklumat yang diperoleh pasukan operasi, kejadian kira-kira 4 petang Selasa apabila semua petugas terbabit bergerak dari kem induk ke Sungai Ulu Temburong untuk mencari ikan.
“Bagaimanapun, keadaan cuaca bertukar buruk dengan hujan lebat kira-kira 8.30 malam menyebabkan arus sungai menjadi deras dan berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, semua petugas terbabit kemudian mengambil keputusan untuk bermalam dan mendirikan khemah di kawasan selamat berhampiran sungai berkenaan.
“Ketika usaha menyeberangi sungai ke lokasi perkhemahan, seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras sebelum hilang dari pandangan rakan-rakan,” katanya.
Lima petugas yang terselamat cuba melakukan pencarian awal pada malam kejadian, namun usaha itu tidak berhasil sebelum pencarian diteruskan keesokan pagi dalam radius kira-kira 700 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mereka kemudian selamat kembali ke kem induk pada 11.30 pagi Rabu bagi melaporkan kejadian dan mendapatkan bantuan lanjut daripada pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




