syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami cuma nak terus berkarya dan mencari rezeki dengan cara serta kemampuan kami.”
Demikian luahan kumpulan Caliph Buskers yang berkongsi realiti dilalui mereka dalam mencari peluang persembahan sebagai sumber rezeki sepanjang Ramadan menerusi hantaran di Threads.
Menurut Caliph Buskers, mereka sudah berusaha menghantar e-mel kepada lebih 10 penganjur acara sebelum kedatangan Ramadan, namun maklum balas yang diterima amat mendukacitakan.
Katanya, hanya dua penganjur yang memberi respons termasuk satu pihak yang benar-benar memberikan kata putus untuk mengambil mereka bekerja.
“Daripada lebih 10 e-mel yang dihantar, hanya dua sahaja yang sudi memberi respons. Dan daripada dua itu, hanya satu yang terus memberi kata putus tanpa banyak soal.
“Malah, ayat yang diberikan cukup ringkas tapi besar maknanya: ‘Kami nak bantu Caliph Buskers’,” tulisnya.
Katanya, komitmen kewangan yang tinggi menjelang Syawal membuatkan mereka perlu lebih gigih mencari peluang meskipun menyedari berdepan keterbatasan diri.
“Sesungguhnya kami amat mengharapkan lebih banyak peluang daripada mereka yang mempunyai keupayaan untuk membuka ruang dan memberi kepercayaan.
“Bagi kami, peluang itu bukan sekadar pentas, tetapi ruang untuk terus berkarya dan berusaha walau dengan segala keterbatasan yang ada,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, kumpulan yang popular dengan lagu Hanya NamaMu itu turut mendoakan agar pihak penganjur dan pasukannya dilimpahi rezeki yang luas atas keprihatinan mereka memberikan ruang kepada pemuzik cacat penglihatan untuk terus mencari rezeki.
© New Straits Times Press (M) Bhd



