Konflik Asia Barat: Sultan Selangor titah rakyat sedia sebarang kemungkinan, hati-hati berbelanja

Konflik Asia Barat: Sultan Selangor titah rakyat sedia sebarang kemungkinan, hati-hati berbelanja

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan konflik global, khususnya di Asia Barat, yang dilihat memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

Ajak rakyat ambil iktibar situasi semasa

Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah, baginda bersama Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut mengajak rakyat mengambil iktibar daripada situasi semasa dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Beta mengambil maklum tentang perkembangan semasa di peringkat global khususnya konflik dan peperangan yang berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat yang memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia,” ujarnya.

Susulan itu, baginda menitahkan agar rakyat lebih berwaspada terutama dari sudut pengurusan kewangan, memandangkan ketidaktentuan global boleh memberi impak kepada ekonomi.

“Justeru, ke arah mendepani sebarang ketidaktentuan khususnya impak kepada ekonomi, Beta menyeru agar setiap rakyat bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”, titahnya lagi.

Terus bersyukur dengan nikmat keamanan

Dalam masa sama, Sultan Selangor menegaskan kepentingan untuk terus bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikecapi, tanpa mengabaikan tanggungjawab memperkukuhkan perpaduan sesama masyarakat.

“Kita seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, namun kita tidak boleh leka dan lalai.
“Beta mahu umat Islam perlu terus memperkukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan, serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri. Jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran,”

Artikel lain: Konflik Asia Barat: Mufti Wilayah nasihat umat Islam tangguh umrah demi keselamatan

Baginda turut berharap semua lapisan rakyat termasuk pemimpin dan ahli politik memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara.

Terdahulu, baginda menzahirkan rasa syukur kerana rakyat Selangor dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana aman dan harmoni selepas menjalani ibadah Ramadan.

Mengakhiri titah, Sultan Selangor menyampaikan ucapan Hari Raya kepada seluruh rakyat dan berharap agar Aidilfitri kali ini membawa kebahagiaan serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Facebook Selangor Royal Office

Scroll to Top