razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan melaksanakan moratorium terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 (Akta 872) dengan segera.
Lapan gabungan NGO terbabit termasuk Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Rakan Penghantar Melaka dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah turut menuntut satu jawatankuasa khas ‘sandbox’ ditubuhkan bagi meneliti semula pelaksanaannya secara menyeluruh.
Gabungan NGO terbabit dalam kenyataan berkata, desakan itu dibuat susulan kebimbangan berterusan pelbagai pihak terhadap implikasi akta berkenaan yang dijangka mula dilaksanakan pada penghujung bulan ini.
Katanya, antara kerisauan yang disuarakan jelas senada dengan kenyataan pelbagai NGO tahun lalu mengenai kelompongan dan kelemahan pada Akta 872 ini.
“Secara prinsip sejak awal lagi, kami tidak pernah menolak atau menghalang pewujudan akta seumpama ini. Namun demikian, pendirian kami kekal tegas dan konsisten bahawa sebarang penggubalan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berlandaskan pertimbangan pelbagai aspek yang kritikal, serta tidak bersifat tergesa-gesa atau reaktif.
“Hakikatnya, walaupun matlamat asal RUU ini adalah untuk membela nasib pekerja, penelitian kami mendapati pelaksanaannya dalam bentuk sedia ada bakal membawa impak rantaian yang membebankan ekosistem gig negara terutama pekerja e-hailing dan p-hailing,” katanya.
Selain itu, pihaknya sebulat suara menggesa kerajaan untuk meneliti secara mendalam beberapa isu kritikal yang masih kabur dan tidak terjawab termasuk penglibatan pemastautin tetap (PR), beban kenaikan premium insurans dan prosedur penggantungan akses sistem yang berisiko.
Menurutnya, pihaknya tidak menuntut pemansuhan undang-undang ini sebaliknya mahu penambahbaikan yang menyeluruh sebelum ia dilaksanakan dan bukan bersifat reaktif.
“Tindakan menangguhkan sesuatu RUU demi kepentingan dan kebaikan rakyat bukanlah suatu perkara yang luar biasa atau belum pernah berlaku di Parlimen. Ini bukan kali pertama sesuatu RUU ditangguhkan atau dibatalkan perbahasannya setelah mendengar denyut nadi rakyat di lapangan,” katanya.
Menurut gabungan NGO itu, kerajaan perlu kembali ke meja perundingan dengan menjalankan sesi libat urus secara telus dengan semua pemegang taruh.
“Langkah ini bagi memastikan akta yang bakal dikuatkuasakan kelak benar-benar melindungi nyawa pengguna dan poket pekerja, bukannya menambah karenah birokrasi dan beban kewangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




