Parlimen Thailand pilih semula Anutin sebagai Perdana Menteri

Parlimen Thailand pilih semula Anutin sebagai Perdana Menteri

BANGKOK – Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai Perdana Menteri Thailand pada Khamis selepas memperoleh undi majoriti di Parlimen.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan Parlimen Thailand menunjukkan Anutin, yang juga pemimpin Parti Bhumjaithai, memperoleh 293 undi, menewaskan pemimpin Parti Rakyat Natthaphong Ruengpanyawut yang menerima 119 undi. Daripada 498 ahli yang mengundi, 86 berkecuali.

Pengundian bermula pada kira-kira 12 tengah hari waktu tempatan dan berlangsung lebih sejam, dengan Speaker Dewan Rakyat Sophon Zaram menamatkan proses itu pada 1.20 tengah hari sebelum menangguhkan sesi berkenaan.

Keputusan itu mengukuhkan kedudukan Anutin selepas beliau melepasi ambang 251 undi yang diperlukan untuk dipilih sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan baharu.

Gabungan yang diterajui Parti Bhumjaithai, yang turut merangkumi Parti Pheu Thai serta sokongan daripada 13 parti kecil lain, dijangka menguasai 292 daripada 499 kerusi di Parlimen.

Sophon dijangka mengemukakan nama Anutin kepada Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn untuk perkenan diraja.

Terdahulu, beberapa ahli Parlimen termasuk semua ahli Parlimen daripada Parti Demokrat berkecuali daripada pengundian atas alasan kebimbangan etika.

Pada 4 Mac, Suruhanjaya Pilihan Raya secara rasmi mengesahkan 499 kerusi Parlimen daripada pilihan raya umum Februari, yang menunjukkan Parti Bhumjaithai memperoleh 192 kerusi, diikuti Parti Rakyat (120), Parti Pheu Thai (74) dan Kla Tham (58).

Anutin, 59, dipilih pada September 2025 bagi menggantikan Paetongtarn Shinawatra yang disingkirkan daripada jawatan menerusi keputusan mahkamah berhubung kes etika.

Sebelum memegang jawatan tertinggi negara, Anutin pernah menyandang portfolio menteri dalam negeri dan kesihatan awam serta memainkan peranan penting dalam respons Thailand terhadap pandemik Covid-19.

Dilahirkan di Bangkok, Anutin merupakan anak sulung kepada bekas Menteri Dalam Negeri Chavarat Charnvirakul.

Beliau mendapat pendidikan di Assumption College dan memperoleh ijazah kejuruteraan dari Hofstra University pada 1989, diikuti Mini MBA dari Universiti Thammasat pada 1990.

Anutin, pewaris empayar pembinaan terkemuka pernah berkhidmat sebagai presiden firma keluarganya Sino-Thai Engineering and Construction PCL yang terlibat dalam projek utama kerajaan termasuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.

Seorang jurutera mengikut kelayakan, beliau menceburi bidang politik pada 1996 sebagai penasihat kepada menteri luar sebelum dilantik sebagai timbalan menteri kesihatan awam dan perdagangan.

Beliau dilarang daripada terlibat dalam politik selama lima tahun susulan pembubaran Parti Thai Rak Thai pada 2006 sebelum kembali aktif pada 2012 untuk memimpin Parti Bhumjaithai. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai Perdana Menteri Thailand
  • Memperoleh 293 undi, menewaskan pemimpin Parti Rakyat Natthaphong Ruengpanyawut
  • Gabungan yang diterajui Parti Bhumjaithai dijangka menguasai 292 kerusi Parlimen
  • Sophon Zaram akan mengemukakan nama Anutin kepada Raja Thailand untuk perkenan diraja
  • Anutin, pemimpin Parti Bhumjaithai, telah banyak menyumbang dalam respons Thailand terhadap pandemik Covid-19
Scroll to Top