Romero tolak spekulasi perpindahan

Romero tolak spekulasi perpindahan

London: Cristian Romero menolak spekulasi perpindahan apabila menegaskan fokus utamanya adalah membantu Tottenham Hotspur kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pertahanan Argentina itu kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan gegaran otak dan membantu Spurs menewaskan Atletico Madrid 3-2, namun tetap tersingkir daripada Liga Juara-Juara berdasarkan agregat.

Romero sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Atletico yang dikendalikan Diego Simeone, namun dia enggan melayan spekulasi berkenaan.

“Saya fokus kepada situasi kami sekarang. Saya hormati kelab ini dan mahu menamatkan musim dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah membantu pasukan mengumpul mata penting bagi mengelak penyingkiran.

Spurs kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran dan bakal berdepan perlawanan penting menentang Nottingham Forest.

Kemenangan ke atas Atletico menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa menang, sekali gus memberi nafas baharu kepada skuad kendalian Igor Tudor.

Sebelum ini, Tudor berada dalam tekanan hebat selepas kekalahan 2-5 di Madrid, namun kebangkitan terbaru sedikit sebanyak meningkatkan moral pasukan.

Romero kini bertekad untuk terus memberi fokus penuh kepada misi menyelamatkan Spurs daripada tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top