syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Amir Nafis menyifatkan masyarakat terutama generasi masa kini perlu mempelajari teknik ikatan samping tradisional walaupun kini wujud samping ‘instant’ (segera).
Isu ini timbul di media sosial dan hangat diperkatakan apabila ada pihak yang menganggap kehadiran samping ‘instant’ umpama menghilangkan nilai kemelayuan pada busana tradisional itu.
Menurutnya, dia lebih gemar memakaikan samping cara biasa, namun jika ada urusan yang segera menyebabkannya memilih menggunakan samping ‘instant’ bagi memudahkan urusan.
“Saya bersetuju juga apabila ada pihak yang menyuarakan pendapat bahawa samping ‘instant’ umpama menghilangkan nilai kemelayuan dan perlu dipelajari.
“Tapi, kalau inovasi sekarang itu memudahkan, maka apa salahnya, kan?” katanya.
Pelakon filem Malaikat Malam itu bagaimanapun tetap berpegang dengan pendapat bahawa nilai kemelayuan perlu diterapkan dalam situasi tertentu.
“Bagaimanapun, saya masih merasakan bahawa kita perlu menerapkan ciri-ciri kemelayuan itu sekuat-kuatnya dalam situasi yang bersesuaian.
“Lagi satu, harga samping ‘instant’ juga agak murah. Jadi, mungkin kita perlu lihat juga faktor kemampuan dan situasi ekonomi seseorang. Apapun, semuanya terpulang kepada masing-masing,” katanya.
Berbanding samping ikatan tradisi, samping ‘instant’ menggunakan pelekat untuk memudahkan pemakaian di samping prosesnya mudah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




