Anwar sambut baik gencatan senjata sementara Pakistan, Afghanistan

Anwar sambut baik gencatan senjata sementara Pakistan, Afghanistan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik gencatan senjata sementara antara Pakistan dan Afghanistan sempena sambutan Aidilfitri, selain menggesa semua pihak meneruskan usaha de-eskalasi ke arah keamanan berkekalan.

Beliau menyampaikan pesanan itu ketika perbualan telefon bersama Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, dalam perjalanan pulang selepas lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang, hari ini.

“Pada masa sama, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan di Timur Tengah yang melibatkan Iran, serta menegaskan keperluan mendesak untuk menghentikan eskalasi dan mengutamakan dialog,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Anwar turut menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada Shehbaz, selain menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan erat dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Pakistan memaklumkan bahawa negara itu telah menggantung sementara operasi ketenteraan dalam wilayah Afghanistan atas permintaan Arab Saudi, Qatar dan Turkiye sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Penerangan Pakistan Attaullah Tarar dalam satu kenyataan berkata gencatan senjata sementara itu bermula pada tengah malam Rabu dan akan berlarutan sehingga tengah malam Isnin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top