am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Kebakaran dilaporkan berlaku di tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung di sini awal pagi tadi, dengan operasi pemadaman masih giat dijalankan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada jam 5.40 pagi berhubung kejadian di tapak pelupusan berkenaan.
Jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal serta Sungai Bakap dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 5.55 pagi.
Kebakaran yang membabitkan timbunan sampah di tapak itu menjejaskan kawasan dianggarkan seluas 929 meter persegi dan masih belum dapat dikawal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata usaha mengawal dan memadam kebakaran sedang giat dijalankan.
“Kami sedang melaksanakan operasi pemadaman dan pengawalan kebakaran secara aktif di lokasi.
“Dua jengkaut digunakan bagi mewujudkan pemisah api untuk mengelakkan kebakaran merebak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tiada mangsa dilaporkan.
Seramai 18 anggota, termasuk seorang pegawai penyelia, dikerahkan ke lokasi dengan dibantu beberapa jentera bomba serta aset logistik dari kedua-dua balai.
Pasukan bomba sukarela dari Sungai Jawi, Nibong Tebal, Valdor dan Parit Buntar turut membantu operasi.
Keadaan sedang dipantau rapi dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa sepanjang operasi berlangsung.
Bulan lalu, kebakaran turut berlaku di tapak pelupusan sisa pepejal di lokasi sama.
Keluasan kawasan terjejas dianggarkan 0.09 hektar atau 0.72 peratus daripada keseluruhan kawasan fasa seluas 12.95 hektar.
Kebakaran itu membabitkan timbunan sisa setinggi sehingga enam meter yang memerlukan penggunaan jentera berat bagi membantu operasi pemadaman.
Pada September tahun lalu, anggota bomba mengambil masa sembilan jam untuk memadamkan kebakaran di tapak pelupusan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



