NEW YORK: Sebuah penerbangan Air Canada Express 8646 dari Montreal melanggar sebuah kenderaan ketika mendarat di Lapangan Terbang LaGuardia, New York, menyebabkan lapangan terbang itu ditutup.
Polis New York memberitahu AFP hari ini, pesawat tersebut berlanggar dengan kenderaan pihak berkuasa pelabuhan.
Dalam pada itu, jabatan bomba memaklumkan pasukannya bertindak balas terhadap insiden yang dilaporkan melibatkan pesawat dan kenderaan di landasan empat.
Pesawat jenis CRJ-900 itu melanggar kenderaan berkenaan pada petang Ahad, dengan kelajuan kira-kira 39 kilometer sejam (km/j), menurut laman penjejakan penerbangan, Flightradar24.
Pesawat itu dikendalikan oleh Jazz Aviation, rakan kongsi serantau Air Canada.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengeluarkan arahan menghentikan semua penerbangan berlepas ke Lapangan Terbang LaGuardia susulan kecemasan melibatkan pesawat itu, dengan penutupan lapangan terbang berkuat kuasa 5.30 petang waktu tempatan.
Kebarangkalian tempoh itu dilanjutkan juga disifatkan tinggi. Notis FAA menyatakan penutupan itu disebabkan kecemasan, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Rakaman yang belum disahkan di media sosial menunjukkan bahagian depan pesawat mengalami kerosakan ketika ia condong ke atas.
Laman web Lapangan Terbang LaGuardia menunjukkan pesawat yang dijadualkan tiba dialihkan ke lapangan terbang lain atau berpatah balik ke lokasi asal.
Dalam notis berasingan kepada juruterbang, FAA memaklumkan lapangan terbang itu berkemungkinan ditutup sehingga 18:00 GMT.
Pihak pengurusan kecemasan New York turut memberi amaran kepada orang ramai supaya menjangkakan pembatalan penerbangan, penutupan jalan, kesesakan lalu lintas serta kehadiran anggota kecemasan di sekitar hab pengangkutan utama di daerah Queens.




