London: Pertahanan Arsenal, Ben White dipanggil menyertai skuad England buat kali pertama sejak Piala Dunia 2022.
Pemain pertahanan kanan berusia 28 tahun itu tidak beraksi bersama pasukan kebangsaan sejak meninggalkan kem di Qatar atas sebab peribadi.
Selepas itu, dia tidak dipilih sepanjang tempoh Gareth Southgate mengendalikan pasukan.
Namun, White kembali disenaraikan bagi aksi persahabatan menentang Uruguay dan Jepun selepas pemain Bayer Leverkusen, Jarell Quansah menarik diri daripada skuad 35 pemain kendalian Thomas Tuchel akibat kecederaan.
White sudah mengumpul empat penampilan bersama England, dengan penampilan terakhirnya ketika kemenangan 3-0 ke atas Ivory Coast pada Mac 2022.
Sementara itu, tiada tempat dalam skuad buat pertahanan Real Madrid, Trent Alexander-Arnold yang juga bermain di posisi bek kanan.
Rakan sepasukan White di Arsenal, Eberechi Eze turut terlepas kem latihan dan digantikan oleh pemain sayap Newcastle, Harvey Barnes, 28, yang kali terakhir membuat penampilan bersama England enam tahun lalu.
England akan melayan kunjungan Uruguay di Wembley pada Jumaat ini sebelum berdepan Jepun pada 31 Mac.
© New Straits Times Press (M) Bhd




