‘Dia isteri terbaik di dunia’ – Petani 82 tahun setia ulang-alik ke ICU hingga nafas terakhir

‘Dia isteri terbaik di dunia’ – Petani 82 tahun setia ulang-alik ke ICU hingga nafas terakhir

HONG KONG – Seorang warga emas berusia 82 tahun dari China sanggup berulang-alik 12 jam selama 105 hari demi melawat isterinya yang terlantar di unit rawatan rapi (ICU).

Kisah tular mengenai kesungguhan dan kesetiaannya menjaga isteri yang sedang sakit menyentuh hati orang ramai.

Petani dari wilayah Zhejiang, Chen Achong berkata, dirinya akan bangun seawal jam 4.30 pagi setiap hari untuk menyediakan makanan buat isterinya, Xue dan menaiki bas pertukaran beberapa kali sebelum tiba di hospital.

Rutin warga emas itu adalah menggenggam tangannya di sisi katil sambil mengenang kembali kehidupan mereka bersama.

Kasih seorang suami hingga hujung nyawa meraih perhatian ramai. Foto SCMP & CCTV

Kasih seorang suami hingga hujung nyawa meraih perhatian ramai. Foto SCMP & CCTV

Achong berkahwin dengan Xue selama lebih 50 tahun, menurut laporan media China, Xinwenfang.

Setahun lalu, Xue diserang strok dan tidak lama kemudian mengalami radang paru-paru yang serius, menyebabkan dia dimasukkan ke ICU di Hospital Li Huili, Ningbo.

Memandangkan anak lelaki mereka tidak dapat berada di sisi ibunya atas tuntutan kerja, Achong mengambil tanggungjawab penuh menjaga suri hatinya itu.

Meskipun waktu melawat dari jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi sahaja, Achong memaklumkan, dia akan duduk di koridor hospital sehingga petang sebelum menaiki bas pulang ke rumah semula.

Mahu berjimat cermat, dia membawa bakul berisi makanan yang dimasaknya untuk Xue.

Selama 105 hari, Achong menempuh perjalanan pergi dan balik hanya untuk meluangkan masa setengah jam bersama Xue.

Achong ketika ditemui pemberita turut berkongsi bait-bait perkataan yang pernah diucapkan kepada isterinya.

“Saya ingat lagi ketika saya bekerja di ladang dan awak menjaga rumah dengan begitu baik.

“Awak membasuh pakaian saya dan setiap kali saya makan ikan, awak selalu mengambil bahagian kepala dan ekor, meninggalkan bahagian terbaik untuk saya,” katanya baru-baru ini.

Sepanjang tahun itu, Achong menghabiskan semua simpanannya lebih dari 100,000 yuan (sekitar RM57,000) untuk rawatan isterinya.

Achong (kiri) dan anak lelakinya ketika menemani Xue yang terlantar di ICU. Foto SCMP & CCTV

Achong (kiri) dan anak lelakinya ketika menemani Xue yang terlantar di ICU. Foto SCMP & CCTV

Anak mereka juga menjual rumah sendiri bagi menampung kos perubatan.

Atas dasar simpati, pihak hospital melonggarkan waktu lawatan untuknya, kecualikan tambang pengangkutan awam dan orang ramai yang berhati mulia menyumbang lebih dari 140,000 yuan (sekitar RM80,000).

Pada 13 Mac lepas, Achong melawat isterinya seperti biasa dan keadaannya dilihat stabil.

Bagaimanapun, Achong memaklumkan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, dia menerima panggilan daripada hospital mengatakan bahawa degupan jantung Xue berhenti.

Dia bersama anaknya bergegas kembali ke hospital dan walaupun pelbagai usaha dilakukan, Xue meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Pada saat-saat terakhirnya, Achong menggenggam tangan Xue dengan erat dan membisikkan ucapan selamat tinggal terakhirnya.

“Hubungan kita dalam hidup ini telah berakhir, tetapi saya tidak rela menerimanya.

“Hati saya terasa koyak, ia sangat menyakitkan tapi, tiada apa lagi yang boleh dilakukan,” ujar petani itu.

Ketika doktor menolak katil Xue keluar daripada bilik, lelaki tua itu terhuyung-hayang untuk melihat isterinya buat kali terakhir.

“Setiap kali saya ada masa, saya akan melawat kuburnya.

“Dia adalah isteri terbaik di dunia,” katanya sewaktu ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Achong turut menyatakan rasa terima kasih kepada semua yang sudi membantu dan berjanji akan melunaskan hutangnya.

Majoriti pengguna media sosial di tanah besar China tersentuh dengan kisah warga emas tersebut.

Ringkasan AI

  • Seorang warga emas dari China berusia 82 tahun berulang-alik 12 jam selama 105 hari untuk melawat isterinya di ICU
  • Achong bangun jam 4.30 pagi setiap hari, menaiki bas pertukaran beberapa kali untuk sampai ke hospital
  • Achong dan Xue berkahwin lebih 50 tahun, Xue dimasukkan ICU kerana strok dan radang paru-paru
  • Achong menghabiskan semua simpanan lebih dari 100,000 yuan untuk rawatan Xue, anaknya juga menjual rumah
  • Walaupun usaha dilakukan, Xue meninggal dunia pada usia 76 tahun, Achong berjanji akan melunaskan hutang dan terus mengunjungi kuburnya
Scroll to Top