'Isu mercun bukan bermusim, lebih teruk ia membabitkan nyawa' – ABIM

'Isu mercun bukan bermusim, lebih teruk ia membabitkan nyawa' – ABIM

yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengkelasan semula mercun mengikut tahap risiko, kawalan pembelian yang lebih ketat, penetapan zon penggunaan yang sesuai serta penguatkuasaan yang lebih proaktif sebelum musim perayaan.

Itu antara cadangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) susulan peningkatan penggunaan mercun sepanjang musim perayaan yang mengundang kecederaan, kebakaran dan gangguan ketenteraman awam.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata, isu ini tidak lagi boleh dilihat sebagai isu bermusim, sebaliknya menjadi kebimbangan keselamatan awam yang berulang setiap tahun.

“Isu mercun hari ini bukan lagi soal tradisi, tetapi soal keselamatan awam dan kegagalan kita mengekang budaya berisiko.

”Kegembiraan tidak boleh dibayar dengan nyawa dan keselamatan masyarakat,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap budaya menunjuk-nunjuk melalui penggunaan mercun bernilai ribuan ringgit, yang bukan sahaja mencerminkan pembaziran, malah menunjukkan pergeseran nilai dalam masyarakat.

Lebih membimbangkan katanya, fenomena ini berlaku sejurus selepas Ramadan yang sepatutnya mendidik umat tentang kesederhanaan dan tanggungjawab sosial.

“Dalam masa yang sama, kebenaran penjualan mercun secara berlesen tidak boleh dianggap sebagai jaminan keselamatan.

Realiti semasa menunjukkan masih wujud jurang antara dasar dan pelaksanaan, termasuk penjualan mercun berbahaya secara tidak terkawal dan akses mudah kepada kanak-kanak,” katanya.

Justeru ABIM berpandangan kerangka perundangan sedia ada yang bersifat lama perlu dinilai semula agar lebih responsif kepada cabaran semasa, termasuk penjualan dalam talian dan kelemahan pemantauan rantaian bekalan.

Katanya, penguatkuasaan yang tidak menyeluruh hanya membuka ruang kepada penyalahgunaan dan meningkatkan risiko keselamatan awam.

“Pada masa yang sama, peranan ibu bapa dan penjaga tidak boleh dipinggirkan. Kurangnya pemantauan terhadap anak-anak ketika bermain dengan mercun meningkatkan risiko kecederaan serius yang boleh dielakkan.

“ABIM turut menggalakkan alternatif sambutan yang lebih selamat dan membina serta menyeru masyarakat untuk kembali menghayati nilai adab, tanggungjawab dan ihsan dalam meraikan perayaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top