Kuala Lumpur: Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian di Asia Barat mesti ditangani melalui jalan damai bagi meredakan ketegangan yang kian meruncing di rantau berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dialog, diplomasi dan kerjasama erat antara negara adalah satu-satunya jalan bagi meredakan ketegangan dan mengembalikan kestabilan, selaras dengan tuntutan kemanusiaan serta prinsip keadilan sejagat.
Beliau menyatakan perkara itu menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan perbualan telefon bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa serta Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan hari ini.
“Saya menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap ketegangan yang berlarutan serta implikasinya kepada keselamatan serantau dan kesejahteraan rakyat, di samping menyampaikan takziah atas kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat daripada serangan balas yang berlaku,” kata beliau.
Selain membincangkan isu keselamatan serantau, Anwar berkata beliau dan kedua-dua pemimpin berkenaan turut saling bertukar ucapan Aidilfitri serta mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran buat rakyat di negara masing-masing.
Ketegangan serantau terus memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lepas.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban jiwa dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



