Belgium tanpa Lukaku berdepan Amerika Syarikat dan Mexico

Belgium tanpa Lukaku berdepan Amerika Syarikat dan Mexico

Brussels: Penyerang utama Belgium, Romelu Lukaku, disahkan tidak akan menyertai skuad kebangsaan bagi aksi pemanas badan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.

Persekutuan Bolasepak Belgium (RBFA) mengumumkan pemain berusia 32 tahun itu memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam dua perlawanan persahabatan menentang tuan rumah bersama, Amerika Syarikat di Atlanta dan Mexico di Chicago, bagi memberi tumpuan kepada tahap kecergasan.

Lukaku yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium dengan 89 gol dalam 124 penampilan, berdepan musim sukar bersama Napoli apabila lebih banyak beraksi sebagai pemain kedua di belakang penyerang Denmark, Rasmus Hojlund.

Selain itu, kecederaan pada awal musim turut menjejaskan rentaknya sehingga dia hanya membuat tujuh penampilan dalam semua pertandingan setakat ini.

Ketiadaan Lukaku menjadi tamparan buat jurulatih, Rudi Garcia, yang sebelum ini turut kehilangan dua lagi penyerang iaitu Hans Vanaken dan Leandro Trossard.

Dalam masa sama, Belgium juga tidak dapat menurunkan penjaga gol utama, Thibaut Courtois, yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Real Madrid minggu lalu.

Namun, skuad itu menerima sedikit kelegaan apabila bintang tengah, Kevin De Bruyne, kembali selepas beberapa bulan diketepikan akibat kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top