am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Penduduk Kampung Perangkap, di sini, mencipta kelainan tersendiri apabila menjalinkan ukhuwah Aidilfitri sesama masyarakat melalui penganjuran pertandingan memancing secara tradisional di tali air kampung berkenaan.
Suasana meriah dapat dilihat apabila semua peserta terdiri pelbagai peringkat umur daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas berpusu-pusu membawa batang kail menyertai pertandingan berkenaan, tidak kurang juga yang lengkap memakai baju raya dan busana tradisional.
Seramai hampir 450 peserta yang mana majoriti adalah anak jati Kampung Perangkap menyertai pertandingan terbabit termasuk kumpulan perantau yang tidak mahu melepaskan peluang sambil mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.
Penganjur, Mohd Khairil Azamin Mohamad, berkata sebanyak 120 ekor ikan terdiri daripada ikan puyu, haruan dan talapia dilepaskan ke dalam tali air sehari sebelum pertandingan.
Katanya, penganjuran pertandingan memancing sempena Hari Raya sudah masuk tahun keempat dianjurkan di kampung itu bermula dengan hanya sekadar sambutan Hari Keluarga Mek Gayah, namun kini menjadi aktiviti tahunan seluruh penduduk kampung.
“Kita tetapkan pemenang membabitkan tiga kategori iaitu pemancing paling awal mendapat ikan, pemancing memperoleh hasil ikan paling banyak dan pemancing yang berjaya menangkap spesies ikan lain selain yang dilepaskan semalam.
“Peserta tahun ini lebih ramai berbanding tahun lalu, selain ramai perantau turut menyertai pertandingan memancing sekali gus mewujudkan suasana meriah dengan pelbagai ragam,” katanya ketika ditemui.
Mohd Khairil berkata, semua peserta diwajibkan menggunakan batang kail tradisional yang diperbuat daripada bahan alami seperti batang pohon salak, ubi kayu atau buluh serta menggunakan umpan seperti cacing atau cengkerik.
Menurutnya, apa yang dianjurkan ini bukan sekadar untuk suka-suka sahaja, tetapi secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan serta seluruh penduduk selain mewujudkan suatu kelainan menarik di kampung itu setiap kali Aidilfitri.
© New Straits Times Press (M) Bhd



