Kota Kinabalu: Penganugerahan vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) kepada 98 syarikat tempatan Sabah menjadi bukti pengiktirafan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan kerajaan negeri atas pencapaian mereka dalam memperkukuh ekosistem industri tempatan yang mampan.
Pengiktirafan berkenaan diberikan atas keupayaan dan rekod prestasi 98 syarikat itu dalam memperoleh kontrak yang mencerminkan pertumbuhan konsisten sejak Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) Sabah pada 2021.
PETRONAS merekodkan jumlah kontrak diraih meningkat daripada 133 pada 2021 kepada 499 pada tahun ini sekali gus menunjukkan kematangan dan keupayaan industri tempatan yang berkembang pesat.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong, berkata sektor OGSE terus menjadi tunjang ekonomi negara.

“Dengan sokongan dan kerjasama berterusan bersama kerajaan negeri Sabah, kita mampu membina rantaian bekalan OGSE yang lebih berdaya tahan serta mengukuhkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelaburan dalam sektor tenaga,” katanya.
Menurutnya, kerjasama antara Sabah dan PETRONAS bukan lagi bersifat aspirasi, malah kini ia bersifat institusi, berstruktur dan membuahkan hasil.
“Sejak termeterainya CCA pada Disember 2021, Sabah telah melangkah secara tegas daripada sekadar penyertaan kepada pemilikan kontrak yang bermakna, pemilikan ekuiti serta pembentukan nilai untuk negeri dan rakyatnya.
“Inilah makna sebenar “lebih hasil dan lebih penyertaan”.
“Sabah kini memainkan peranan lebih signifikan dalam aktiviti dan pengurusan berkaitan sumber di negeri ini.
“Hala tuju kita jelas iaitu Sabah mesti bergerak secara berperingkat ke arah penyertaan majoriti dan kepimpinan dalam aktiviti di dalam negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengiktirafan Vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) PETRONAS yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, baru-baru ini.
Pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Naib Presiden Kumpulan Perolehan PETRONAS, Rashidah Alias.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Sr Mohd Ishak Datuk Ayub, mewakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Ishak ketika berucap menegaskan, pihaknya tidak lagi memainkan peranan kecil dalam keputusan dan aktiviti yang membabitkan sumber dalam negeri ini.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri sudah menetapkan sasaran yang kukuh iaitu 60 peratus penyertaan Sabah melalui pegangan kontrak dalam semua aktiviti OGSE di negeri.
“Sama ada melalui kontrak secara langsung, pemilikan ekuiti, atau usaha sama, sasaran ini bukan bersifat simbolik.
“Ia bersifat strategik dan dilaksanakan dengan penuh terancang,” katanya.
Peluang serlah kredibiliti
Sementara itu, Pengarah Urusan Rimbunan Jaya Sdn Bhd, Herzairie Kirman, berkata pengalaman sebagai vendor PETRONAS adalah peluang untuk memperlihatkan kredibiliti mereka.

“Alhamdulillah, pengalaman kami sebagai vendor PETRONAS mencerminkan kredibiliti yang tinggi serta membuktikan keupayaan kami dalam memenuhi piawaian bertaraf dunia dari segi keselamatan, kualiti dan pelaksanaan.
“Rekod prestasi ini meningkatkan keyakinan rakan antarabangsa dan meletakkan kami sebagai rakan tempatan yang boleh dipercayai untuk bekerjasama serta berskala lebih besar.
“Dalam banyak aspek, PETRONAS membantu meningkatkan tahap kesediaan kami untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi termasuk dalam projek yang membabitkan pemain antarabangsa,” katanya.
Pengarah Urusan GMB Dynamic Sdn Bhd, Anthony Kiob berkata, pihaknya bangga apabila terpilih menjadi salah satu syarikat penerima penganugerahan vendor daripada PETRONAS.
“Penglibatan GMB Dynamic Sdn Bhd sudah lama dalam kerja pembaikan automotif. Jadi, apabila kami dapat (anugerah), ia (menjadi satu) penghormatan bagi kami daripada PETRONAS.
“Kami harus menunjukkan kemampuan kami. Apabila PETRONAS beri peluang begini, maka prestij itu bertambah. Saya rasa dari sini, kita boleh tengok ini sebagai platform untuk berkembang lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




