Tiada rundingan antara Tehran, Washington setakat ini – Utusan Iran ke Pakistan

Tiada rundingan antara Tehran, Washington setakat ini – Utusan Iran ke Pakistan

Istanbul: Duta Iran ke Pakistan pada Rabu berkata tiada sebarang rundingan berlaku antara Tehran dan Washington setakat ini, sekali gus menyangkal spekulasi berterusan mengenai hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita rasmi Iran, IRNA.

“Tiada rundingan – sama ada secara langsung atau tidak langsung – telah berlaku antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) setakat ini,” kata Reza Amiri-Moghaddam dalam satu kenyataan yang dipetik oleh IRNA.

Beliau mendakwa AS “mengkhianati diplomasi” sambil menambah bahawa Iran sentiasa mengutamakan dialog dan penyelesaian secara aman, namun terpaksa mempertahankan diri susulan ketegangan yang memuncak baru-baru ini.

Amiri-Moghaddam berkata, walaupun “negara-negara sahabat” sedang mengadakan rundingan dengan kedua-dua pihak, usaha itu “bukanlah satu rundingan” sebaliknya bertujuan mewujudkan suasana bagi membolehkan dialog antara Tehran dan Washington pada masa hadapan.

Menurut laporan The New York Times, satu pelan damai AS yang mengandungi 15 perkara telah disampaikan melalui Pakistan. Pelan itu menggariskan langkah-langkah menangani program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran serta keselamatan maritim di Selat Hormuz.

AS dan Israel telah melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Tehran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS. Serangan itu mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain mengganggu pasaran global serta sektor penerbangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top