
Ferdinand Marcos Jr – Foto fail Bernama
MANILA – Presiden Filipina,Ferdinand Marcos Jr. menandatangani undang-undang Akta Republik 12316 pada Rabu, yang memberikan kuasa darurat kepada pihak eksekutif untuk menggantung atau mengurangkan cukai eksais ke atas produk petroleum secara sementara susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat, lapor Agensi Berita Filipina.
Langkah itu, yang merupakan gabungan Rang Undang-Undang Senat No. 1823 dan Rang Undang-Undang Dewan No. 8220, berkuat kuasa serta-merta selepas diwartakan.
Ia meminda Seksyen 148 Kanun Hasil Dalam Negeri 1997, yang membolehkan Presiden, dengan kerjasama Jabatan Tenaga dan atas syor Jawatankuasa Penyelarasan Belanjawan Pembangunan (DBCC), melaraskan cukai eksais apabila purata harga minyak mentah Dubai berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) mencecah atau melebihi AS$80 setong selama sebulan sebelum perintah dikeluarkan.
Undang-undang ini membenarkan sama ada penggantungan penuh atau pengurangan separa cukai eksais ke atas produk petroleum tertentu dan mengehadkan penggunaan kuasa itu sehingga 31 Disember 2028.
Di bawah akta ini, syarikat minyak diwajibkan mengemukakan laporan bulanan komponen kos produk petroleum kepada Jabatan Tenaga, yang kemudiannya akan disalurkan kepada Kongres dan DBCC.
Biro Hasil Dalam Negeri serta Jabatan Kastam juga diarahkan menyediakan kemas kini bulanan bagi tujuan pengiraan cukai nilai tambah (VAT).
Akta ini turut mewajibkan Presiden mengemukakan laporan kepada kedua-dua dewan Kongres yang memperincikan asas fakta dan objektif dasar bagi penggantungan atau pengurangan cukai, anggaran hasil yang terlepas, manfaat sosial yang dijangka serta kesan terhadap inflasi, harga bahan api dan ekonomi secara keseluruhan.
Sebelum ini, Marcos menyatakan pihak eksekutif perlu menilai “masa paling sesuai untuk menggunakan kuasa baharu ini,” dengan mengambil kira syarat dalam undang-undang itu.
Langkah ini dibuat ketika harga minyak global meningkat, susulan pengisytiharan darurat tenaga negara baru-baru ini bagi membolehkan campur tangan kerajaan dilakukan dengan lebih pantas dalam aspek bekalan dan harga.
Pegawai berkata undang-undang ini akan memberi lebih banyak alat kepada pihak berkuasa untuk menstabilkan harga bahan api domestik serta mengurangkan tekanan inflasi ke atas isi rumah dan perniagaan. – Bernama
Ringkasan AI
- Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. menandatangani undang-undang yang memberikan kuasa darurat untuk menggantung atau mengurangkan cukai eksais produk petroleum
- Langkah ini bertujuan merespon kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat
- Undang-undang ini berkuat kuasa serta-merta dan mengizinkan penyesuaian cukai eksais apabila harga minyak mentah melebihi US$80 setong
- Kuasa untuk menggantung atau mengurangkan cukai eksais terhad kepada 31 Disember 2028
- Syarikat minyak diwajibkan melaporkan kos produk petroleum bulanan kepada Jabatan Tenaga untuk kajian Kongres dan DBCC



