Miami: Pemain pilihan ketiga, Elena Rybakina meledak 15 ace dan menyelamatkan lapan daripada 10 mata break ketika menewaskan pilihan kelima, Jessica Pegula 2-6, 6-3, 6-4 untuk mara ke separuh akhir Terbuka Miami di Miami Gardens, Florida, awal pagi tadi.
Elena mengatasi permulaan yang goyah untuk menewaskan Jessica buat kali kelima dalam tempoh tujuh bulan, termasuk pada separuh akhir Terbuka Australia sebelum menjuarai gelaran tersebut di Melbourne.
Pemain dari Kazakhstan itu bakal berdepan sama ada pemain pilihan utama, Aryna Sabalenka atau pemain bukan pilihan, Hailey Baptiste dalam separuh akhir, esok dan jika berdepan Aryna, ia akan menjadi ulangan final Terbuka Australia.
Jessica memulakan perlawanan dengan cemerlang untuk memenangi empat perlawanan pertama dan set pertama, tetapi Elena bangkit untuk menang selepas dua jam 15 minit permainan.
“Bermain dengan Jessica sentiasa sangat sukar,” kata Elena. “Dia mula bermain dengan baik, saya terburu-buru dan rasa kecewa, tetapi saya gembira kerana berjaya bangkit dan mengubah keadaan pada set kedua.”
Elena menghantar tujuh ace dalam set kedua dan menyelamatkan semua empat mata break untuk menyamakan kedudukan perlawanan. Dia menambah lima ace dalam set ketiga untuk menutup perlawanan.
Bagi Jessica, yang kini memegang rekod 0-3 menentang Elena tahun ini, perlawanan itu sekali lagi mengecewakan.
“Saya letakkan diri saya di posisi yang tepat. Saya beri diri saya peluang dan kesempatan, saya rasa permainan meningkat, saya menjadi pemain lebih baik. Saya sememangnya cabar mereka, itu sahaja yang boleh saya minta daripada diri sendiri dan mudah-mudahan beberapa kemenangan akan menyusul,” kata Jessica.
Sementara itu, pemain pilihan ke-4, Coco Gauff, akan berdepan pemain pilihan ke-13, Karolina Muchova, dalam satu lagi aksi separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




