am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis memburu dua lelaki dipercayai mencuri kereta Proton Wira milik seorang lelaki di sebuah premis di Jalan Salung 33/26, Seksyen 33 di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kenderaan itu yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan staf di premis terbabit.
Katanya, laporan diterima pada 3.12 pagi Selasa lalu daripada lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an.
“Siasatan mendapati, kenderaan diletakkan pengadu pada Sabtu, (21 Mac) sebelum mangsa pulang ke kampung halaman di Tumpat, Kelantan.
“Pada 1.14 pagi Selasa, apabila tiba dari kampung, pengadu hendak mengambil semula keretanya namun mendapati ia sudah hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata, premis itu tidak mempunyai pengawal keselamatan dan pengadu adalah salah seorang pekerja di situ.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua suspek lelaki dipercayai menggunakan sebuah kenderaan lain berada di lokasi untuk mencuri kenderaan pengadu.
“Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya melaporkannya kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




