am@hmetro.com.my
Alor Setar: Sebuah stor tanpa nombor di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah diserbu pihak berkuasa semalam kerana dipercayai menyimpan diesel tanpa lesen.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dilakukan jam 6 petang semalam Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 1 Kompeni C, Bukit Kayu Hitam dengan kerjasama KPDN Kedah.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah minyak diesel di dalam beberapa tong IBC yang bersambung antara satu dengan yang lain.
“Ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengaku sebagai pemilik stor berkenaan.
“Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai permit atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan iaitu diesel di premis terbabit, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Nizam berkata, sehubungan itu, KPDN Kedah menyita minyak diesel dianggarkan sebanyak 2,100 liter dengan nilai RM9,534 serta enam buah tong IBC serta peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM11,034.
“Pemilik stor berkenaan ditahan reman bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




