Pertembungan AS-Iran pada Piala Dunia dijangka 'meletup'

Pertembungan AS-Iran pada Piala Dunia dijangka 'meletup'

London: Amerika Syarikat (AS) dan Iran kini berada dalam landasan untuk berdepan antara satu sama lain di Piala Dunia, ketika FIFA bersiap menghadapi pertemuan berprofil tinggi dan penuh sensitiviti.

Kelayakan kejohanan minggu ini memberi gambaran lebih jelas tentang situasi peringkat kumpulan menjelang musim panas nanti, dan ia membuka kemungkinan pertembungan panas antara dua negara yang sedang berkonflik.

Walaupun AS dan Iran berada dalam kumpulan berbeza, mereka berpotensi bertemu di pusingan kalah mati pertama.

AS kendalian Mauricio Pochettino berada dalam Kumpulan D bersama Paraguay, Australia dan sama ada Turki atau Kosovo selepas aksi play-off awal pagi hari ini.

Turkiye menewaskan Romania 1-0 untuk mara ke pusingan akhir kelayakan, manakala Kosovo menewaskan Slovakia 4-3 dalam perlawanan mendebarkan. Kedua-dua pasukan itu akan bertemu minggu depan bagi menentukan slot ke Piala Dunia.

Simulasi awal oleh Football Meets Data dengan andaian Turkiye melengkapkan kumpulan AS – meramalkan AS akan mara sebagai naib juara kumpulan.

Iran pula sudah mengetahui semua lawannya dalam Kumpulan G dengan Belgium, Mesir dan New Zealand dan turut dijangka menamatkan saingan sebagai naib juara.

Jika kedua-dua pasukan menamatkan kumpulan di tempat kedua, mereka akan bertemu di Dallas pada 3 Julai.

Situasi ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara selepas Donald Trump melancarkan operasi ketenteraan bersama Israel terhadap Iran pada akhir Februari.

Iran membalas serangan tersebut, dan penyertaan mereka di Piala Dunia kini menjadi tanda tanya.

Persatuan Bola Sepak Iran telah meminta agar venue perlawanan ditukar kerana ketiga-tiga perlawanan mereka dijadual berlangsung di Amerika Syarikat.

Mereka sepatutnya bermain di Los Angeles dan Seattle, namun usaha dibuat untuk memindahkan perlawanan ke negara tuan rumah bersama, Mexico.

Permintaan itu nampaknya tidak akan diluluskan selepas FIFA menolak cadangan tersebut, dengan kurang daripada 100 hari sebelum kejohanan bermula.

Ini bukan kali pertama AS-Iran bertemu di Piala Dunia.

Mereka bertemu di edisi Piala Dunia 2022 di Qatar, dengan AS menang 1-0 untuk mara ke pusingan kalah mati.

Mereka juga pernah bertembung pada 1998 dalam perlawanan digelar ibu segala perlawanan yang dimenangi Iran 2-1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top