mdroji@bh.com.my
Kuching: Remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui maut selepas disambar buaya ketika mandi di sungai berhampiran rumah panjang Kampung Segubang, Jalan Batu Kawa Lama, di sini, hari ini.
Mayat mangsa ditemui oleh ahli keluarganya pada 5.27 petang di seberang rumah panjang terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangan kanan serta bahagian siku tangan kiri hilang.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, kejadian berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa mandi di sungai terbabit bersama abang dan adiknya, manakala ibu mereka berada berhampiran, sedang membasuh pakaian.
Mangsa dikatakan sempat menjerit mengatakan kakinya sakit sebelum ditarik reptilia itu.
“Menurut saksi, datuk mangsa yang turut berada di lokasi bertindak mengejar menggunakan bot bagi menyelamatkan mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa hilang daripada pandangan kira-kira 200 meter dari lokasi dia mandi,” katanya yang memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 2.41 petang.
Jurucakap itu berkata, pasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bergegas ke lokasi sejurus terima panggilan dan memulakan operasi mencari dan menyelamat sebaik tiba pada 2.55 petang.
“Mayat mangsa yang dibawa ke tebing kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.32 petang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




