Istanbul: Tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah melancarkan lebih 850 peluru berpandu krus Tomahawk dalam tempoh empat minggu konflik dengan Iran, sekali gus menyusutkan simpanan senjata dipandu tepat itu secara ketara dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai Pentagon, lapor Anadolu Ajansi memetik Washington Post pada Sabtu.
Tomahawk, yang dilancarkan daripada kapal pembinasa dan kapal selam, merupakan aset utama dalam operasi ketenteraan AS sejak Perang Teluk.
Bagaimanapun, had pengeluaran tahunan yang hanya mencapai beberapa ratus unit meningkatkan kegusaran mengenai tahap simpanan semasa, yang tidak didedahkan oleh Pentagon kepada umum.
Kebergantungan tinggi terhadap Tomahawk – yang dikenali dengan jarak jangkauan melebihi 1,609 kilometer serta keupayaan menyerang tanpa mempertaruhkan nyawa juruterbang – bakal memerlukan perbincangan mendesak mengenai keperluan memindahkan aset dari wilayah lain, termasuk Indo-Pasifik, selain usaha jangka panjang untuk meningkatkan pengeluaran.
Pentagon kini memantau rapi jumlah penggunaan senjata berkenaan, dengan seorang pegawai memberitahu The Post bahawa stok di Timur Tengah berada pada tahap “rendah dan membimbangkan”, tanpa tindakan segera, simpanan itu dikhuatiri menghampiri status “Winchester” – istilah ketenteraan bagi kehabisan peluru – yang boleh menjejaskan operasi semasa dan akan datang.
Bagaimanapun, jurucakap Pentagon Sean Parnell menegaskan bahawa tentera AS “mempunyai segala keperluan untuk melaksanakan sebarang misi pada masa dan tempat yang dipilih oleh Presiden serta mengikut sebarang garis masa.”
Beliau menyelar laporan media sebagai “berat sebelah dan taasub untuk menggambarkan tentera terkuat di dunia sebagai lemah,” selain berhujah bahawa pelaporan sedemikian sengaja bertujuan “menakut-nakutkan dan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat Amerika.”
Sumber memberitahu The Post bahawa kebanyakan daripada 850 Tomahawk itu digunakan pada fasa awal “Operation Epic Fury”, dengan sekurang-kurangnya satu serangan dilaporkan mengenai kawasan berhampiran sebuah sekolah rendah di Minab, Iran.
Selain itu, AS turut melancarkan lebih 1,000 peluru berpandu pemintas pertahanan udara, termasuk daripada sistem Patriot dan “Terminal High Altitude Area Defence” (THAAD) bagi membalas serangan balas Iran, menurut sumber berkenaan sambil menyatakan stok adalah terhad dan tidak diketahui.
Penganalisis daripada Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Mark Cancian berkata penggunaan lebih 800 Tomahawk di Iran mungkin mewakili kira-kira satu perempat daripada keseluruhan stok simpanan AS, yang berpotensi mewujudkan kelompangan pertahanan bagi konflik di Pasifik Barat.
Firma pemikir itu menganggarkan Tentera Laut AS memiliki sekitar 3,100 unit Tomahawk pada permulaan perang. Secara keseluruhan, tentera laut telah memperoleh hampir 9,000 unit Tomahawk sepanjang sejarah program berkenaan, namun kebanyakan model lama kini sudah dianggap usang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




